ALOR SETAR: UMNO Kedah menggesa siasatan dijalankan secara tegas dan segera bagi mencari punca serta dalang penerokaan ladang durian Musang King di Gunung Inas yang terletak di antara Baling dan Kulim dekat sini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, siasatan tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh hingga ke akar umbi.
Menurutnya, siasatan juga harus dibuat bagi mengenal pasti perkara sebenar mengenai dakwaan seorang lelaki berkaitan dengan penerokaan ladang durian Musang King di Gunung Inas dalam video yang tular sejak semalam.
“UMNO Kedah kesal dengan perkembangan yang berlaku dan kami menggesa supaya siasatan dilaksanakan secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.
“Selain itu, projek penanaman tersebut perlu dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas klip video yang tular sejak semalam di mana seorang lelaki mendakwa akan menjadikan kawasan seluas 30,000 ekar (12,140 hektar) di Gunung Inas sebagai ladang durian terbesar di dunia.
Penularan video tersebut menimbulkan kemarahan banyak pihak kerana dikhuatiri mendatangkan kemusnahan alam sekitar.
Mengulas lanjut Jamil Khir berkata, setiap jabatan dan agensi berkaitan antaranya Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah serta Jabatan Tanah dan Galian negeri perlu segera menyiasat sama ada berlaku pelanggaran undang-undang hingga mengakibatkan sumber air di kawasan berdekatan terjejas teruk.
Katanya, mereka yang terlibat membangunkan projek itu perlu dipastikan mengikut tata urus tadbir yang betul, bersandarkan kontrak awal ditetapkan.
“Dalam masa sama, rakyat juga perlu diperjelaskan mengenai perkara sebenar yang berlaku di situ baik dari segi pihak yang meluluskan, bentuk kelulusan diberi, syarat kelulusan serta pulangan kepada kerajaan negeri.
“Gunung Inas adalah milik rakyat Kedah, maka penjelasan segera perlu diberikan mengenai penerokaan yang berlaku di situ terutamanya kepada mereka yang berada di kawasan berhampiran kawasan Baling, Sik dan Kulim,” katanya. -UTUSAN