JEMPOL: Kejadian kebakaran sebuah kereta di Batu Kikir dekat sini pagi tadi menimbulkan pertanyaan siapakah pemilik kereta tersebut selain seekor lembu yang ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, sehingga pukul 2 petang tadi, mangsa kenderaan terbakar belum membuat laporan polis.
“Kami juga sedang mengesan pemilik lembu berkenaan yang sehingga kini belum juga tampil ke Balai Polis Batu Kikir. Dalam kejadian ini, maklumat menyatakan lembu ini dicuri juga tidak dapat dipastikan kerana tiada saksi yang nampak kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Penolong Pegawai Bomba Muhamad Rasul Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran kenderaan berkenaan yang dilaporkan oleh anggota polis pada pukul 4.24 pagi.
Menurutnya, pasukannya tiba di lokasi pada pukul 4.35 pagi dan api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.50 pagi.
“Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbakar 100 peratus. Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini. – UTUSAN ONLINE