Seri Paduka berkenan berangkat lawat tapak rumah bantuan banjir di Pekan - Utusan Malaysia

Seri Paduka berkenan berangkat lawat tapak rumah bantuan banjir di Pekan

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat pembinaan rumah di bawah program Rumah Bantuan Banjir di Kampung Sungai Ganchong di Pekan, Pahang hari ini. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat pembinaan dua rumah di bawah program Rumah Bantuan Banjir di daerah ini, hari ini.

Pembinaan dua rumah berkenaan di Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Sungai Ganchong di sini adalah menerusi kurniaan bantuan daripada Seri Paduka kepada mereka yang terjejas.

Seri Paduka tiba di tapak rumah pertama di Kampung Tanjung Pulai di sini kira-kira pukul 4 petang disambut Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli.

Yang turut berkenan berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Kedua-dua rumah berkenaan akan dibina baharu dengan kos RM100,000 sebuah dan dijangka siap dalam tempoh 12 minggu ke 16 minggu.

Rumah Mohd. Khanafiah Abu Bakar, 52, di Kampung Tanjung Pulai dan Norhasnah Mat Yunos, 60, di Kampung Sungai Ganchong kerap dilanda banjir kerana lokasinya terletak di kawasan rendah.

Sehubungan itu, rumah baharu mereka nanti akan dibina dengan tiang yang lebih tinggi dari aras tanah supaya dapat terhindar daripada banjir.

Dalam kunjungan itu, Seri Paduka turut berkenan mendengar taklimat daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) tentang pembinaan rumah baharu tersebut.

Yang di-Pertuan Agong turut meminta kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan dua rumah berkenaan mengikut masa yang ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya