Sektor perniagaan lain akan dibuka berperingkat - Alexander

Sektor perniagaan lain akan dibuka berperingkat

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) meninjau kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak sawit di Dengkil, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berharap peniaga sektor tertentu yang masih lagi ditutup agar bersabar dan kekal mematuhi arahan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi malah berkata, pihak kementeriannya sedang berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibuka semula sektor terbabit.

“Saya beri jaminan, kita berusaha ke arah itu dan memang merayu sangat kepada MKN untuk beri pertimbangan dan kelonggaran sebab faham ada sektor yang terkesan teruk,” katanya dalam sidang akhbar lawatan kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak masak sawit, Intercontinental Specialty Fats Sdn. Bhd. di Dengkil, dekat sini hari ini.

Lawatan itu bertujuan meninjau dari dekat proses pengeluaran minyak masak berpeket satu kilogram susulan maklum balas pengguna kononnya berlaku kekurangan di pasaran ketika ini.

Kilang yang dibina pada 1996 itu dimiliki oleh syarikat minyak berasaskan tumbuhan terbesar dunia, Nisshin Oillio Group Limited yang berpusat di Jepun dan ditubuhkan sejak 1907 lalu.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pihaknya menyedari kesukaran dialami sektor terbabit antaranya kedai pakaian yang menanggung kerugian sehingga terpaksa membuang pekerja.

“Kita (kementerian) memang mahu bantu dan gembira jika kedai itu dapat dibuka selain faham ada yang hampir ‘gulung tikar’ kerana tiada pendapatan akibat terlalu lama ditutup,” tegasnya.

Justeru ujarnya, pihak kementerian giat berunding dengan MKN dan proses tersebut mungkin akan dibuat secara berperingkat seperti pasar malam, kedai gunting rambut dan cuci kereta.

Beliau turut memberi contoh kebenaran pembukaan semula kedai emas yang dikritik banyak pihak konon bukan sektor penting tetapi tidak ramai tahu pengusahanya dalam situasi kritikal.

MKN pada masa sama, kata Alexander, pihaknya akan turut melihat dari segi aspek risiko kesihatan awam berdasarkan penilaian Kementerian Kesihatan dan potensi bahaya penularan Covid-19.

“Apabila dibenar dibuka, kita mengingatkan peniaga terbabit agar berdisiplin patuh setiap prosedur operasi standard seperti pakai pelitup, jarak fizikal dan imbas suhu,” tegas beliau.

Dalam pada itu, menyentuh isu minyak masak bersubsidi, para pengguna diseru menyemak melalui aplikasi Price Catcher bagi tahu premis peruncit yang ada bekalan di sesuatu lokaliti.

Ujarnya, berdasarkan siasatan pihak kementerian, stok tiada disebabkan permintaan tinggi kebelakangan ini dengan pengguna dikesan membeli lebih daripada keperluan sepatutnya.  

Sehubungan itu, aplikasi tersebut membolehkan pengguna mengetahui premis runcit mana yang masih banyak bekalan dalam sesuatu kawasan apabila sesebuah kedai kehabisan stok.

“Sebagai langkah sementara, mulai 19 Januari lalu, Arahan Penetapan Had Pembelian dibuat dengan setiap pembeli hanya tiga peket polibeg satu kilogram dalam satu transaksi,” katanya.

Alexander menambah, terdapat 25 pengilang dan 296 syarikat pembungkus di seluruh negara dengan pengeluaran 60,000 tan metrik setiap bulan untuk produk minyak masak bersubsidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN