Sektor kesihatan swasta sedia bantu kerajaan tangani Covid-19

Sektor kesihatan swasta sedia bantu kerajaan tangani Covid-19

DR. KULJIT SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Farmasi Malaysia (PhAMA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyatakan kesediaan untuk membantu dan bekerjasama dengan kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19.

Naib Presiden PhAMA, Ashish D. Pal, Presiden APHM, Datuk Dr. Kuljit Singh dan Setiausaha Kehormat MMA, Dr. Thirunavukarasu Rajoo dalam kenyataan bersama berkata, kesediaan sektor swasta untuk menjadi rakan kongsi kepada kerajaan dalam memerangi Covid-19 akan meningkatkan lagi tahap penjagaan kesihatan bagi pesakit di negara ini.

“Covid-19 sememangnya mencabar sistem penjagaan kesihatan negara. Pandemik ini tidak hanya menjejaskan infrastruktur penjagaan kesihatan tetapi juga mendedahkan beberapa kelemahan sistem seperti sumber manusia, logistik, rawatan pesakit dan rantaian bekalan.

“Industri ini percaya perbincangan dan kolaborasi yang lebih kerap antara sektor awam dan swasta akan menghasilkan penyelesaian yang pantas, pintar, dan inovatif, membolehkan Malaysia mengurangkan lagi kesan Covid-19 terhadap kesejahteraan rakyat, ekonomi, dan negara,” katanya.

Pada masa sama, persatuan-persatuan itu juga menganggap industri penjagaan kesihatan menjadi salah satu industri yang berdaya tahan sepanjang pandemik Covid-19, dari segi pertumbuhan dan pekerjaan kerana ia terus memupuk pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan perubatan, perkhidmatan bersama, dan ujian klinikal.

Malah, mereka berpandangan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) telah terbukti memberikan perkhidmatan dan bantuan kesihatan berkualiti tinggi dalam mengurangkan beban infrastruktur penjagaan kesihatan awam sambil meningkatkan akses kepada rakyat yang mahu mendapatkan rawatan.

“Industri penjagaan kesihatan juga berminat untuk menjadi rakan kongsi dengan kerajaan untuk membangunkan dasar secara holistik bagi mengurangkan kesan wabak, meningkatkan kebolehaksesan vaksin Covid-19 dan membina sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan di Malaysia,” katanya.

Justeru, persatuan kesihatan swasta berpendapat kerajaan tidak perlu bimbang untuk menempuhi kesukaran menangani Covid-19 seorang diri sebaliknya hanya perlu mengadakan kerjasama lebih erat dengan sektor swasta.

“Landskap penjagaan kesihatan di Malaysia wujud dalam ekosistem kebergantungan dengan pihak berkepentingan seperti pembekal tempatan, pengedar perubatan, pengamal perubatan, hospital awam dan swasta, dan ahli farmasi komuniti.

“Jadi kerjasama awam dan swasta, pendekatan pelbagai sektor dan sifat kolaboratif  adalah penting dalam memastikan keselamatan, kelestarian, dan ketahanan dalam sistem kesihatan negara terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya