PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd.Shaiful berkata, dia bersedia untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan seksual berasingan melibatkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.
“Of course (sudah tentu) saya bersedia untuk dibicarakan. Alhamdulillah saya okey, makin berisi. Saya masih lagi dalam industri dan akan keluarkan `single’ tidak lama lagi. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan menyokong saya hingga kini,” ujarnya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah.
Pendakwah muda itu ditanya persediaannya bagi menghadapi perbicaraan terhadap dua tuduhan seksual melibatkan mangsa yang sama.
Ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 10 Disember tahun lalu, tertuduh, 26, didakwa melakukan persetubuhan luar tabii manakala di Mahkamah Majistret pula, dia didakwa menggunakan kekerasan dengan niat mencabul gadis tersebut.
Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk sebutan kedua-dua kes dan penyerahan dokumen kepada mahkamah.
Bagaimanpun, peguam yang mewakilinya tertuduh, Syed Amirul Syed Edros memaklumkan penyerahan dokumen tidak dapat disempurnakan kerana fail kertas siasatan tidak dibawa ke mahkamah.
Ujarnya, pihak pembelaan difahamkan fail berkenaan masih berada di Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor di Shah Alam dekat sini.
Sehubungan itu, Hakim Jamaludin Mat menetapkan kes itu disebut semula pada 19 Mac ini. Tarikh yang sama turut ditetapkan ketika kes disebut di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.
Syed Amirul turut memaklumkan, pihaknya difahamkan kes di Mahkamah Majistret melibatkan tuduhan mencabul akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen (tuduhan persetubuhan luar tabii) untuk perbicaraan bersama.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Shanur Farrahin Shapri dan Zamriah Zarifah Aris.
Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober tahun lalu di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.
Bagi tuduhan persetubuhan luar tabii, dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Tuduhan mencabul pula, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.
Pendakwah selebriti itu kini dibebaskan dengan jaminan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen dan RM5,000 oleh Mahkamah Majistret.
Mahkamah turut memberikan syarat tambahan yang melarang Syed Shah Iqmal mengganggu mangsa sepanjang perbicaraan serta memerintahkannya melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan.
– UTUSAN ONLINE