Satu telefon, 4 beradik bergilir ikut PdPR - Utusan Malaysia

Satu telefon, 4 beradik bergilir ikut PdPR

Empat beradik gembira selepas mendapat sumbangan dua unit tablet di Kampung Hujung Mergong, Alor Setar pada 1 Februari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi ujian berat kepada empat beradik daripada keluarga kurang berkemampuan di Kampung Hujung Mergong di sini.

Empat beradik tersebut, Nursyahira Zulhasymi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong dan adik-adiknya iaitu Huzaifah, 12, Muhammad Ajmal, 10, dan Muhammad Uwais, 7, terpaksa bergilir-gilir kongsi satu telefon pintar bagi sesi PdPR masing-masing.

Menurut ibu mereka, Siti Hajar Abdul Ghani, 41, dia tidak mampu menyediakan telefon pintar mahupun tablet kerana suaminya, Zulhasymi Zainol Abidin, 41, hanya bekerja sebagai tukang besi.

“Suami hanya tukang besi, jika ada tempahan adalah kerja. Sepanjang Covid-19 memang payah nak dapat tempahan.

“Apabila anak-anak terpaksa guna telefon untuk belajar memang kami susah hati khuatir mereka ketinggalan dalam pembelajaran.

“Bagaimanapun, apa boleh buat mereka terpaksa bergilir masuk PdPR, selalu kakak yang dahulu sebab tahun ini kakak mahu akan menduduki Pertafsiran Tingkatan Tiga (PT3), jadi yang lain kena tunggulah,” katanya ketika ditemui di rumah mereka semalam.

Menurut Siti Hajar, suaminya hanya pendapatan RM900 sebulan tetapi terpaksa menanggung sembilan sekeluarga termasuk ibu bapa mentua dan seorang lagi anak mereka berusia empat tahun, Nursofea Kamalia.

“Nak beli telefon baru memang tak mampulah. Telefon yang ada ni pun kawan suami bagi,” katanya.

Dalam pada itu, nasib adik-beradik itu sedikit terbela semalam apabila mendapat dua tablet sumbangan Kelab Belia Darulaman dan Pemuda UMNO Alor Setar.

Menurut Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, pihaknya bersimpati dengan nasib empat beradik tersebut setelah mendapat maklumat daripada pihak sekolah.

“Jadi kami agih dua tablet daripada dana disumbangkan melalui Tabung Bantuan Gajet untuk keluarga tidak berkemampuan,” katanya.

Kata beliau, pihaknya berjaya mengumpulkan sebanyak 25 tablet tetapi tablet itu juga diagihkan kepada pelajar lain yang turut terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN