PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berhasrat mencapai sasaran sehingga 31 peratus bekalan elektrik di negara ini yang berasaskan kepada Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, matlamat itu tidak mustahil kerana setakat tahun lalu, jumlah bekalan TBB yang mesra alam sekitar berkenaan sudah mencecah 22 peratus.
“Kerajaan memang berharap menjelang tahun 2024, lebih 31 peratus daripada punca bekalan elektrik di negara kita datang daripada sumber TBB,” katanya selepas pengumuman mengenai Pembukaan Permohonan untuk Kuota Tarif Galakan (FIT) di Wisma Sumber Asli di sini, hari ini.
Program lanjutan itu kali ini menawarkan sebanyak 188 Megawatt (MW) untuk sumber biogas, hidro mini dan biojisim di Semenanjung Malaysia yang boleh dimohon bidaan secara dalam talian.
Daripada jumlah itu, kuota sebanyak 32MW dikhususkan kepada sumber biogas manakala 126MW diperuntukan untuk sumber hidro mini dan baki 30MW lagi diberi kepada sumber biojisim.
Ia diuruskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) dan dibuka secara berperingkat mulai 1 Jun ini untuk biogas diikuti 8 Jun bagi hidro mini dan 22 Jun pula biojisim.
Shamsul Anuar berkata, penawaran kuota FIT yang baharu berupaya menjana pelaburan sebanyak RM1.5 bilion dan mewujudkan 600 peluang pekerjaan dalam industri TBB.
“Rakyat turut menerima manfaat kerana projek ini menjamin kelangsungan bekalan elektrik yang berterusan tanpa ada gangguan terputus malah ia lebih mesra alam sekitar,” katanya.
Katanya, langkah tersebut juga sebahagian usaha kerajaan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara pasca pemulihan yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Pada masa sama, kata beliau, program FIT yang diperkenalkan sejak 2011 akan memacu negara ini kepada TBB lebih lestari dan menyokong sasaran ke arah pengurangan karbon fosil.
“Kita berharap apabila siap semua projek di bawah FIT akhir 2024 nanti, negara kita menuju kurang kebergantungan bekalan elektrik daripada gas asli dan arang batu,” katanya.
Menurut beliau, sejak FIT dilancarkan 10 tahun lalu, kuota sebanyak 1,394MW diluluskan Seda bagi semua sumber TBB melibatkan sejumlah 10,476 projek di seluruh Semenanjung Malaysia.
Katanya, syarikat tempatan turut diberikan keutamaan oleh kementerian itu untuk bidaan projek FIT kali ini supaya lebih ramai rakyat menikmati faedah hasil program bekalan TBB.
“Mereka akan dapat menjual bekalan ini terus memasuki saluran grid kebangsaan milik Tenaga Nasional Berhad sekali gus memastikan rakyat menerima elektrik tanpa ada masalah,” katanya. – UTUSAN ONLINE