Saman RM13.5 bilion Puncak Niaga terhadap Abdul Khalid dibicara di Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Saman RM13.5 bilion Puncak Niaga terhadap Abdul Khalid dibicara di Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes saman Puncak Niaga Holdings Bhd. (Puncak Niaga) bernilai RM13.5 bilion terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan satu pihak lain berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu, akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ketetapan itu dicapai selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini sebulat suara membenarkan rayuan Puncak Niaga dengan kos, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman itu.

Pengurusan kes saman terhadap Abdul Khalid dan Kerajaan Negeri Selangor itu ditetapkan pada 18 Februari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk S. Nantha Balan berpuas hati bahawa plid yang dikemukakan menunjukkan terdapat kausa tindakan yang munasabah berhubung `tort of misfeasance’ dalam pejabat awam terhadap Abdul Khalid.

Mahkamah berpuas hati bahawa kausa tindakan terhadap bekas Menteri Besar itu perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi.

Panel itu turut berpendapat, isu berhubung sekatan di bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam (PAPA) 1948 perlu ditentukan menerusi perbicaraan kerana ia melibatkan persoalan undang-undang yang penting.

Sehubungan itu, panel berkenaan berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir terkhilaf ketika membatalkan saman Puncak Niaga yang memerlukan mahkamah itu untuk campur tangan dan mengetepikan keputusan tersebut.

Perbicaraan kes saman itu akan didengar di hadapan hakim yang lain kerana Akhtar telah berpindah.

Dalam keputusannya, panel tersebut turut berpuas hati bahawa elemen `tort of misfeasance’ dalam pejabat awam tidak berjaya diplidkan terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (defendan kedua) dalam tuntutan saman itu.

Oleh yang demikian, mahkamah menolak rayuan Puncak Niaga dengan kos RM10,000.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli mewakili Puncak Niaga, Edmund Bon Tai Soon mewakili Abdul Khalid, N. Surendran mewakili Mohamed Azmin manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud mewakili
Kerajaan Selangor.

Puncak Niaga merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Februari 2018 yang membatalkan samannya atas alasan pernyataan tuntutannya adalah cacat.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Oktober 2017, Puncak Niaga antara lain mendakwa defendan menyalahgunakan kuasa sebagai menteri besar dengan mengancam untuk menyebab atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.

Plaintif antara lain mendakwa penangguhan rundingan berkenaan usaha penyusunan semula industri air di Selangor selama lima tahun menjadi manfaat politik peribadi defendan, selain mendakwa rundingan tersebut tidak dilakukan atas dasar ‘willing buyer willing seller’ (urus niaga suka sama suka) sehingga menyebabkan plaintif mengalami kerugian serta kerosakan.

Sehubungan itu, Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

Pada masa sama, plaintif juga menuntut ganti rugi berhubung perbezaan antara nilai PNSB Water Sdn. Bhd. (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd.) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada kadar RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion.

Selain itu, plaintif menuntut pertimbangan pembelian sebenar berjumlah RM1.56 bilion di bawah Perjanjian Pembelian Saham bertarikh 11 November 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya