PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan tindakannya menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
untuk menarik balik pengisytiharan darurat sebagai tidak salah.
Beliau berkata, sebagai seorang rakyat, apakah salah untuk memohon ihsan dan kebijaksanaan Seri Paduka untuk menitahkan sedemikian termasuk hal-hal lain yang tidak dipersetujui tentang segala tindakan kerajaan.
“Apakah merayu, memohon ihsan dan kebijaksanan Yang di-Pertuan Agong untuk menimbang (menarik balik pengisytiharan darurat) itu berbunyi desakan?
“Apakah rakyat biasa tak boleh merayu kepada Seri Paduka Baginda meminta supaya mempengaruhi dan memperbaiki keadaan hal-hal yang kita tidak setuju? Apakah tanggungjawab rakyat mesti sokong semua tindakan kerajaan?” soalnya dalam rakaman video yang disiarkan di Facebook beliau malam ini.
Ia sebagai memberi penjelasan kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini bahawa polis sudah membuka kertas siasatan untuk menyiasat Anwar dan beberapa individu lain kerana menentang pengisytiharan darurat.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa terdapat 114 ahli Parlimen bersetuju dengannya sekali gus membuktikan kerajaan Perikatan Nasional hilang majoriti.
Oleh sebab itu, katanya, kerajaan menggantung sidang Parlimen kerana jika diadakan, mereka yang menentang atau diminta mengkaji semula darurat itu adalah majoriti.
“Jadi sepatutnya menteri teliti hal ini tidak payah ugut hal kita, undang-undang apa dan peraturan perlembagaan mana yang tidak membolehkan rakyat memohon ihsan kebijaksanan Agong dalam apa-apa perkara pun?
“Saya harap pimpinan negara ini jangan guna ugutan, kamu sudah kalah dalam pertarungan politik, sudah hilang majoriti. Hadapi kenyataan ini dalam suasana demokratik,” katanya.
Beliau bagaimanapun menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada polis jika ada alasan perundangan dan bukannya mengikut arahan menteri. – UTUSAN ONLINE