PETALING JAYA: Bagi memperjuangkan isu pendidikan dan rakyat tanpa kewarganegaraan di Sabah, negeri ini bakal mengadakan simulasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Sabah pada 13 dan 14 Februari ini.
Ini sekali gus meletakkan Sabah sebagai perintis penganjuran DUN Belia secara maya melalui aplikasi Zoom mengambil kira kes penularan jangkitan Covid-19 yang masih membimbangkan.
Urusetia Penganjur DUN Belia Sabah, Fazlan Thomas, 33, berkata, penganjuran program berkenaan tidak seperti sidang DUN sebenar kerana hanya melibatkan ’30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)’ untuk menyuarakan mengenai usul yang dibawa.
“Oleh kerana program ini bertujuan mendorong penyertaan belia dalam hal-hal perundangan negeri, sebuah bengkel awal diadakan sebelum acara untuk membiasakan para peserta dengan proses yang terlibat dalam DUN secara dalam talian.
“Semasa DUN Belia Sabah bersidang, para peserta diminta membahaskan topik akses kepada pendidikan untuk masyarakat tanpa kewarganegaraan di Sabah. Secara tidak langsung, ini akan memperkasakan belia dalam isu hak asasi dan pendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
DUN Belia Sabah adalah sebahagian daripada kempen yang disokong dan dibiayai oleh Young South East Asian Leaders Initiative (YSEALI) dan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia.
Malah, ia turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini iaitu Undi Sabah, Persatuan Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (Pemuda UNAM), Kelab Belia Tinagayan, Me.reka, Inisiatif Biji-biji dan Majlis Belia Sabah (MBS).
Untuk rekod, beberapa negeri sudah mempunyai ADUN Belia negeri masing-masing, antaranya Terengganu, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Kelantan bagi menarik golongan muda mengetengahkan sebarang isu kepada kerajaan bagi membolehkan langkah selanjutnya diambil.
Mengulas berkenaan pemilihan peserta DUN Belia Sabah, kata Fazlan, kriteria pemilihan bergantung kepada prestasi dan kualiti penulisan peribadi peserta yang disampaikan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu selain mempertimbangkan kuota 30 peratus pemohon dalam kalangan wanita.
“Peserta telah direkrut melalui media sosial dari seluruh Sabah dan dinilai berdasarkan karangan pendek mengenai pandangan mereka terhadap penglibatan belia dalam perundangan hak asasi manusia. Pemohon juga diberi pilihan untuk berkongsi pengalaman yang relevan dengan komuniti tanpa negara, jika ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE