'Runner' bawa kekasih jual dadah campur jus minuman - Utusan Malaysia

‘Runner’ bawa kekasih jual dadah campur jus minuman

SOFFIAN Santong (tengah) menunjukkan rampasan dadah susulan serbuan di sebuah kondominium mewah dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, Gorgetown, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Taktik licik sindiket memproses dan mengedar dadah campuran serbuk minuman buah-buahan bernilai RM77,318 di negeri ini terbongkar selepas polis menahan sepasang kekasih dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Lebuh Sungai Pinang 2, Jelutong, di sini Rabu lalu.

Suspek tempatan berusia 20 dan 21 tahun itu ditahan sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira pukul 2.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan suspek pertama yang bertindak sebagai ‘runner’ dilakukan di lobi perumahan mewah tersebut dan menjumpai 15 peket plastik berwarna hitam di dalam beg dipegangnya.

Katanya, hasil soal siasat ke atas lelaki tersebut membawa polis ke sebuah rumah di kondominium sama dan menahan seorang remaja wanita yang juga teman wanita suspek.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai sejumlah campuran serbuk dadah disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) sekali gus membongkar sebuah makmal mini memproses bahan terlarang itu di bahagian ruang tamu.

“Siasatan mendapati, dadah itu diproses menggunakan serbuk jus minuman yang dijual di pasaran seperti teh ais limau dan teh hijau serta serbuk minuman bertenaga pelbagai perasa,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut di sini hari ini.

Anggaran dadah MDMA adalah seberat 2,396 gram dan turut dirampas adalah ketamin (338.5 gram), 576 biji pil Ekstasi dan 390 biji pil Eramin 5 di dalam kediaman berkenaan.

Turut disita sebuah kereta dan wang tunai bernilai RM1,100 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM136,918.

Menurut Soffian, hasil soal siasat, sindiket yang baru beroperasi sejak awal Januari lalu itu menyasarkan pelanggan di sekitar negeri ini dengan harga jualan RM180 bagi sepeket dadah MDMA pelbagai perasa buah-buahan.

“Suspek pertama mendakwa tidak mengenali tukang proses dadah tersebut dan hanya berhubung menerusi aplikasi WeChat bagi urusan penghantaran kepada pelanggan manakala teman wanitanya dikatakan tiada kaitan dengan kegiatan tersebut.

“Suspek dan teman wanita bergilir-gilir dengan tukang memproses dadah berada di dalam rumah yang disewa abang suspek dan mereka tidak pernah bertembung,” ujarnya yang menambah, suspek akan memperoleh upah sebanyak RM500 hingga RM800 sehari.

Beliau memberitahu, pelanggan meletakkan wang pembelian dadah di bawah tayar kereta di mana-mana lokasi tempat meletak kenderaan yang diarah ahli sindiket lain.

“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka ditahan reman enam hari sehingga 22 Februari ini.

“Polis kini giat memburu saki-baki sindiket berkenaan termasuk abang suspek pertama dan tukang proses dadah tersebut,” ujarnya.

Siasatan kes itu akan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya