Rumah tumpangan tawar khidmat seks dibongkar - Utusan Malaysia

Rumah tumpangan tawar khidmat seks dibongkar

SEBAHAGIAN warga asing yang diperiksa dokumen pengenalan diri dalam Op Gegar Jabatan Imigresen di Seremban, Nilai dan Kuala Pilah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Aktiviti sebuah rumah tumpangan yang menawarkan perkhidmatan seks oleh wanita warga asing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terbongkar apabila diserbu Jabatan Imigresen dalam Op Gegar di Nilai, dekat sini semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, hasil risikan mendapati rumah tumpangan yang terletak di Taman Semarak, Nilai itu menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan seks oleh wanita warganegara asing.

“Ketika serbuan dijalankan terdapat seramai empat wanita dan dua lelaki warga asing berada di dalam premis tersebut dan mereka cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Bagaimanapun, kesemua warga asing yang berusia antara 28 hingga 47 tahun itu berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Sembilan dengan kekuatan seramai dua pegawai dan 18 anggota.

Kennith berkata, ketika serbuan dijalankan warga asing itu memberi pelbagai alasan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Antara alasan diberikan wanita warga asing itu mereka hanya menyewa di rumah tumpangan tersebut.

“Anggota operasi turut merampas kondom, botol yang mengandungi pelincir dan buku rekod pelanggan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, empat wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada tiga wanita Indonesia dan seorang wanita warga India.

“Tiga wanita Indonesia itu ditahan atas kesalahan tinggal melebihi tempoh masa di negara ini di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1956/63.

“Manakala wanita warga India itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke negara ini tanpa permit yang sah,” katanya.

Jelas beliau, dalam serbuan itu juga, dua lelaki warganegara asing yang dipercayai merupakan pelanggan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk ke negara ini tanpa permit sah.

“Kesemua warga asing turut ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, kerana didapati bersalah melakukan pelbagai kesalahan Imigresen, termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih tempoh, memalsukan dokumen dan melanggar syarat pas.

“Selain itu, Notis Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan kepada penjaga premis bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Tambah Kennith, seterusnya anggota operasi telah menjalankan serbuan ke atas tujuh lagi premis melibatkan warga asing di sekitar Seremban, Nilai dan Kuala Pilah.

“Dalam operasi bermula pukul 10.30 semalam hingga 2.30 pagi tadi, seramai 36 warga asing berumur antara 20 hingga 49 tahun telah ditahan di beberapa premis melibatkan kilang, kedai runcit, dan rumah kongsi pekerja di tapak pembinaan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki warga Indonesia dan lapan lelaki warga Bangladesh yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya.

Kennith berkata, kesemua tahanan tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan Senawang untuk melakukan ujian saringan Covid-19. 

“Setelah kesemua ujian saringan tahanan didapati negatif, mereka telah dipindahkan ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Jelas beliau, walaupun dalam tempoh PKPB, ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara dibiarkan berlaku sebaliknya tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing yang cuba mengambil kesempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya