Rosmah diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah

Rosmah diperintah bela diri terhadap tiga tuduhan rasuah

ROSMAH Mansor (tengah) hadir bagi mendengar keputusan sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri dalam kes rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membela diri terhadap tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri itu, 69, membela diri terhadap dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta berhubung projek yang sama.

Mahkamah memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak), Saidi Abang Samsudin untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui bekas Pegawai Khasnya, Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa  dilakukan di kediamannya di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah bagaimanapun memilih memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan bebas disoal balas oleh pihak pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN