MELAKA: Seorang lelaki kempunan tidak sempat menikmati hasil jualan rokok, arak dan mercun pelbagai jenama bernilai lebih RM500,000 selepas polis merampas kesemua barangan seludup itu dalam satu tangkapan, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 33 tahun dari Rompin, Pahang itu ditahan selepas dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan di belakang lorong kedai di Klebang Kechil pada pukul 2.05 petang.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta jenis Proton Wira membawa kepada penemuan 221 karton rokok pelbagai jenama yang disorokkan di dalam bonet.
“Sepasukan anggota dari Cawangan Risik Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dibantu pasukan Task Force Batalion 6 menahan sebuah kenderaan yang memandu dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, pasukan itu menjumpai pelbagai jenis seludup dan hasil soal siasat pemandu terbabit mengaku kesemua barang tersebut diambil dari sebuah rumah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Menurut Afzanizar, susulan penahanan itu, satu serbuan dibuat di sebuah rumah yang dijadikan tempat penyimpanan barangan seludup.
“Rumah tersebut disewa suspek untuk dijadikan tempat penyimpanan barang-barang seludup dan hasil pemeriksaan kita menjumpai sebanyak 2,690 karton rokok, sembilan botol arak, 144 tin arak dan 21 kotak mercun pelbagai jenama.
“Kesemua barang itu dirampas dengan nilai keseluruhan termasuk cukai ialah RM573,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, suspek dipercayai membawa masuk barangan seludup itu melalui jalan darat dari negeri jiran dan aktif melakukan kegiatan dengan menyasarkan jualan di kedai runcit dalam daerah ini sejak sebulan yang lalu.
Katanya, lelaki tersebut direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam iaitu memiliki barangan larangan import (rokok dan arak) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (v) (aa) akta sama.
“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki mercun,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE