TUMPAT: Sesiapa pun pasti kecewa jika haiwan ternakan yang diharap menjadi punca rezeki utama keluarga, tiba-tiba mati seekor demi seekor hampir setiap hari tanpa sempat menikmati hasilnya.
Kejadian yang cukup membimbangkan itu terpaksa ditempuhi penternak itik penelur di Kampung Delima di sini, Wan Azman Wan Ibrahim yang berputih mata apabila beratus-ratus itik ternakannya mati dalam tempoh empat bulan ini.
Menceritakan punca kejadian itu kepada Utusan Malaysia, penternak kurang upaya yang cacat di kaki itu berkata, harga dedak naik melambung sehingga 40 peratus lebih mahal sejak tahun lalu memaksa dia mencari makanan lebih murah untuk itik-itiknya.
Namun, katanya, musibah melanda apabila itik itu mula berhenti bertelur, dipercayai akibat kekurangan zat khususnya protein kesan daripada memakan ‘dedak’ murah yang tidak berkualiti.
Lebih malang, katanya, sekitar 20 hingga 50 itik-itiknya dijumpai mati bergelimpangan hampir setiap hari.
“Saya ternak itik sejak 2016 dan pernah meraih pendapatan sehingga RM40,000 sebulan hasil daripada pengeluaran sehingga 210,000 biji telur. Namun kini sudah menjunam teruk selepas negara diancam Covid-19.
“Sekarang itik saya berhenti bertelur sampai kami tiada pendapatan langsung selama empat bulan, iaitu sejak November hingga sekarang,” katanya ketika ditemui di ladangnya, DDD Farm, di sini baru-baru ini.
Menurut Wan Azman, memikirkan kemungkinan lebih banyak itiknya mati, dia membuat keputusan menjual itik-itik tersebut supaya dapat menampung perbelanjaan membeli dedak berkualiti biarpun harganya semakin mahal.
Berbanding 1,500 hingga 2,000 ekor itik sebelum ini, jumlah itik di DDD Farm yang seluas 0.4 hektar kini tinggal kira-kira 1,000 ekor.
“Harga dedak untuk itik sekarang mencecah antara RM120 hingga RM140 untuk 50 kilogram berbanding sebelum ini hanya RM93 hingga RM95.
“Dalam sehari, sebanyak 500 hingga 700 guni dedak diperlukan. Kos makanan itik perlu ditanggung sekarang sekitar RM10,000 sebulan, tidak termasuk upah enam pekerja saya,” katanya.
Biarpun berdepan kerugian, Wan Azman berkata, dia sanggup menggunakan segala wang simpanan yang ada untuk mempertahankan ladang itu selain cuba mengekalkan keenam-enam pekerja sedia ada.
“Kami para penternak harap kerajaan cari jalan ringankan beban kami seperti memberi sumbangan peralatan atau modal untuk kami hasilkan sendiri dedak itik menggunakan kelapa dan pucuk ubi,” katanya.
Wan Azman sebelum ini bekerja sebagai jurujual namun selepas kaki kirinya mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan, dia membuat keputusan berhenti kerja dan ternak itik sepenuh masa pada 2016. – UTUSAN ONLINE