Rakyat Malaysia cuba pecah rekod basikal terpantas di Taiwan

Rakyat Malaysia cuba pecah rekod basikal terpantas di Taiwan

MOHAMMAD Mos ketika membuat latihan di sepanjang laluan kayuhan berbasikal termasuk di zon pergunungan di Taiwan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas berjaya menawan Wuling di Taiwan, laluan bergunung paling bahaya di dunia tahun lalu, kini Mohammad Mos cuba memecah rekod kayuhan terlaju di negara itu.

Penggiat sukan lasak itu bakal menyertai Cabaran Kayuhan Berbasikal Terpantas di pulau tersebut esok yang meliputi jarak sejauh 520 kilometer (km) dalam tempoh kurang 24 jam.

Menerusi kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini, beliau berharap kejayaan menamatkan kayuhan dalam tempoh itu meletakkan namanya dalam Malaysia Book of Records (MBR).

“Ia bermula pukul 12 tengah malam di Rumah Api Fuguijiao, Taipei di titik paling utara Taiwan dan berakhir di Rumah Api Eluanbi, Hengchun di titik paling selatan negara ini,” jelas beliau.

Ujarnya, program anjuran sebuah badan sukan ternama negara tersebut juga akan disertai ramai pelumba tempatan dan antabangsa yang menggemari aksi berbasikal ekstrem Taiwan.

Berbekalkan semangat dan persediaan rapi, beliau optimis misi kayuhan itu akan berjaya disenaraikan dalam MBR, sekali gus mengharumkan lagi nama negara di peringkat global.

Pegawai Pejabat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor itu juga perlu berlatih keras sebagai persediaan awal menyertai cabaran tersebut.

“Setiap hari, saya kena aktif berkayuh sejauh 100 hingga 300 km dengan purata jarak antara 2,000 km sehingga 3,000 km dalam sebulan,” jelas Mohammad, 45, yang berasal dari Sarawak.

Uniknya, beliau mula meminati sukan berbasikal sejak 2018 lalu ketika berhijrah ke Taiwan untuk menemani isterinya, seorang penjawat awam sebuah agensi kerajaan Malaysia di sana.

Beliau juga sanggup mengambil cuti sejak tiga tahun lalu bagi menyesuaikan diri di Taiwan serta membuat latihan sepanjang laluan kayuhan berbasikal termasuk di zon pergunungan.

Strategi itu katanya, bagi menguji ketahanan mental dan mengawal rasa mengantuk ketika berkayuh selain berlatih pada sebelah malam selepas 12 tengah malam sehingga tengah hari.

“Latihan paling jauh dan mencabar yang pernah saya lalui ialah mengelilingi Taiwan sejauh 1,073 km dalam tempoh kurang 100 jam dengan purata kelajuan 24 km sejam,” ujar beliau.

Malah, jumlah kayuhan kawasan tinggi yang sudah dilakukannya setakat ini menghampiri 6,000 meter dari paras laut atau menyamai dua setengah kali ganda tinggi Gunung Tahan.

Mohammad berkata, latihan mengelilingi Taiwan turut disertai empat pengayuh yang juga peminat basikal lasak dari Indonesia Cycling Team dan sudah lama menetap di negara itu.

Namun katanya, cabaran utama misi itu ialah cuaca dan angin kencang bahkan ada salah seorang rakan yang menyertai latihan mengalami cedera ringan di kaki akibat hilang kawalan.

“Cabaran berbasikal terpantas ini turut sangat bermakna bersempena hari lahir saya pada 14 Februari lalu di samping untuk cipta satu lagi rekod baharu MBR bagi diri sendiri,” jelas beliau.

Bapa kepada tiga anak itu pernah melakar nama sebagai salah seorang peserta penerbangan paramotor pertama berjaya terbang merentasi laut dari Pulau Langkawi ke Alor Setar, Kedah.

Pada 3 Oktober lalu, Mohammad berjaya ‘menakluk’ Wuling dalam Cabaran Kayuhan sejauh 360 km ke Gunung Wuling setinggi 3,275 meter, yang merupakan titik paling tinggi di Taiwan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya