PSR: Tiada injuksi larang proses kumpul maklumat - Utusan Malaysia

PSR: Tiada injuksi larang proses kumpul maklumat

AHMAD ZAKIYUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri tidak menerima injuksi, perintah sekatan atau arahan berhenti kerja yang melarang proses pengumpulan maklumat nelayan terlibat dengan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana proses rayuan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) itu tidak menjejaskan kerja-kerja pengumpulan maklumat nelayan.

“Berhubung kenyataan projek PSR tidak harus berjalan selagi rayuan kelulusan laporan EIA belum selesai, kerajaan negeri ingin menegaskan proses rayuan tidak menjejaskan kerja yang dijalankan,” katanya semalam.

Sebelum ini, Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang dilihat terdesak untuk memulakan kerja tambakan laut PSR walaupun mahkamah belum mendengar injunksi yang difailkan oleh Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) berhubung projek berkenaan.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, kerajaan negeri kesal dengan tindakan mereka yang terlibat sehingga menimbulkan kekeliruan dan ketakutan kepada nelayan dan menyebabkan maklumat sebenar tidak diterima.

“Malah terkini, didapati pihak-pihak tertentu mengugut nelayan dengan menyatakan nelayan yang berdaftar dengan kerajaan negeri tidak disokong untuk pembaharuan lesen perikanan dan permit bagi mendapat bantuan sara hidup,” katanya.

Beliau menyarankan Ketua Unit Nelayan dari kawasan selatan mengatur perjumpaan dengan kerajaan negeri bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat yang tepat.

“Kerajaan negeri tiada halangan untuk menguruskan perjumpaan tersebut dengan syarat Ketua Unit Nelayan bersetuju untuk hadir ke sesi tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat 23 Februari, seramai 423 daripada 1,615 nelayan telah berdaftar dengan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul serta memberi maklum balas yang baik terhadap pakej Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN