IPOH: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak sudah mengenal pasti calon Menteri Besar Perak daripada parti itu jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini.
Tanpa mahu mendedahkan nama individu berkenaan, Naib Presiden (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, calon berkenaan adalah seorang individu yang sangat dikenali dan rundingan sedang dijalankan dengannya.
“Putra akan mengetengahkan seorang calon Menteri Besar daripada parti ini yang bertanding dalam PRU-15, yang pasti calon Menteri Besar itu bukanlah saya.
“Beliau adalah seorang individu amat dikenali, berintegriti dan bersih. Putra yakin calon Menteri Besar yang kami ketengahkan nanti boleh diterima seluruh rakyat negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamidah berkata, Putra akan bertanding di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dalam kawasan majoriti Melayu.
Menurutnya, Putra juga sudah dan sedang mengenal pasti kerusi bukan Melayu yang akan ditandingi dengan meletakkan calon atas tiket Kelab Penyokong Putra.
Beliau yakin Putra diterima rakyat sebagai blok ketiga berikutan ketidaktentuan hubungan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
“Putra menawarkan alternatif kepada rakyat sebagai blok ketiga berikutan masalah dalaman PN dan MN untuk menyelesaikan isu hubungan mereka menjelang PRU-15. Walaupun satu kerajaan dalam PN, tetapi mereka masih bercakaran sesama sendiri dan masih mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya.
“Berikutan ketidaktentuan itu, maka sewajarnya Putra menjadi alternatif kepada rakyat dalam PRU-15,” katanya. – UTUSAN ONLINE