Prihatin Mart ringankan kos sara hidup rakyat - Utusan Malaysia

Prihatin Mart ringankan kos sara hidup rakyat

ROSOL Wahid (kanan) menurunkan tandatangan pada bahagian belakang kedai runcit bergerak, Prihatin Mart di Dataran Padang Kacung, Kuala Telemong, Hulu Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Penduduk di daerah ini kini berpeluang mendapatkan hampir 100 barangan makanan yang nilainya 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran menerusi kedai runcit bergerak, Prihatin Mart.

Inisiatif projek komuniti yang dicetuskan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid itu bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup rakyat terutama dalam kalangan B40 yang terkesan dan terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, Prihatin Mart yang menawarkan 91 jenis barangan makanan asas seperti gula, beras, minyak masak dan tepung itu digerakkan di kesemua empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen tersebut secara bergilir-gilir.

“Contohnya beras 10 kilogram yang berharga RM26 tetapi di Prihatin Mart cuma RM18.

“Prihatin Mart bergerak ke setiap DUN dengan hari ini bermula di DUN Telemong manakala minggu depan ke Kuala Berang diikuti Manir dan Ajil bagi memberi peluang sepenuhnya kepada rakyat menikmati harga barangan yang murah berbanding pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kedai runcit bergerak, Prihatin Mart di Dataran Padang Kacong, Kuala Telemong di sini hari ini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, nilai barangan yang dimuatkan dalam Prihatin Mart pada satu-satu masa mencecah sehingga RM15,000.

Katanya, pembelian barangan tertentu dihadkan kuantiti bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati harga rendah yang ditawarkan di kedai runcit bergerak itu.

Sementara itu, penduduk Kampung Kuala Telemong, Nornizar Ismail, 39, memuji pelaksanaan kemudahan Prihatin Mart yang disifatkan tepat pada masanya dalam mengurangkan bebanan ditanggung rakyat.

“Jualan harga murah sebegini tentunya tidak dilepaskan rakyat terutama bagi yang mempunyai anak ramai seperti saya. Menerusi Prihatin Mart saya dapat berjimat dengan perlu membayar RM177 sahaja berbanding di tempat lain mungkin kos perbelanjaan melebihi RM250,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN