Polis tahan pasangan tunang tanam syabu belakang rumah - Utusan Malaysia

Polis tahan pasangan tunang tanam syabu belakang rumah

TIUM Ming Kung (kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Marang, Terengganu, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Polis membongkar taktik licik pasangan tunang dipercayai pengedar dadah yang dikesan menanam bahan terlarang itu di belakang rumah sewa mereka di Kampung Jambu Bongkok, di Merchang di sini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, polis me­rampas kira-kira 3.145 kilogram dadah jenis syabu dan heroin selain 0.899 kilogram pil kuda dan 4.5 liter kodien yang dianggarkan bernilai RM565,150.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintenden Tium Ming Kung berkata, perbuatan pasangan tunang itu dikesan selepas suspek lelaki yang berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa di tepi jalan berhampiran rumahnya.

Katanya, pemeriksaan bungkusan plastik yang dipegang suspek menemukan sebahagian dadah dan membawa kepada serbuan di rumah.

“Suspek bersama tunangnya yang berusia 21 tahun memberitahu menanam syabu dalam empat lubang di belakang rumah sewa mereka untuk mengelak dikesan polis.

“Siasatan mendapati bekalan dadah itu baharu seminggu diperoleh dari negara jiran bagi edaran di sekitar Terengganu dan mampu menampung permintaan kira-kira 24,400 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini hari ini.

Menurut Ming Kung, suspek lelaki yang merupakan penganggur mempunyai tiga rekod jenayah dari 2017 hingga 2019 termasuk membabitkan kes pecah rumah dan kedua-dua mereka dipercayai aktif dalam pengedaran dadah akhir tahun lalu.

Katanya, polis merampas wang tunai bernilai RM42,000 dan jam tangan mewah di samping turut menyita masing-masing sebuah kereta Suzuki Swift serta motosikal.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari hingga 26 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya