Polis edar lakaran wajah suspek sorok bayi dalam tong - Utusan Malaysia

Polis edar lakaran wajah suspek sorok bayi dalam tong

SOFFIAN Satong menunjukkan lakaran wajah salah seorang suspek yang dipercayai menyorokkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan di dalam tong polisterina di flat Jalan Van Praagh, Jelutong, Pulau Pinang Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis hari ini mengedarkan lakaran wajah salah seorang suspek yang dipercayai bertindak menyembunyikan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan di dalam tong polisterina di rumah keluarga mangsa di flat Jalan Van Praagh, Jelutong, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu antara dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi tersebut.

Katanya, polis kini giat memburu suspek-suspek terbabit berdasarkan laporan dan lakaran wajah yang diperoleh hasil maklumat daripada keluarga bayi tersebut.

“Polis sedang meneliti sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan lif flat berkenaan bagi mengesan identiti suspek terbabit.

“Kita difahamkan, suspek naik ke rumah mangsa di aras lima menggunakan tangga bagi mengelak dikesan atau dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan suspek menerusi lakaran wajah yang diedarkan di mana-mana balai polis berdekatan atau kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nurfaiz Fathi Marhom di talian 04-2825922 (sambungan 228).

Semalam, media melaporkan seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila bayi lelakinya berusia tiga bulan hilang selepas disorokkan oleh dua penyamun yang menyamar wakil syarikat kurier.

Suspek dikatakan bertindak demikian selepas mereka gagal memperolehi wang sebanyak RM50,000 seperti yang dimahukan.

Bayi lelaki tersebut akhirnya ditemukan dalam keadaan mulutnya disumbat dengan tuala kecil dan ditampal pita pelekat di dalam tong bilik rumah mangsa kira-kira sejam kemudian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya