JOHOR BAHRU: Hasrat tujuh samseng jalanan mahu lepas gian berlumba di Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) memakan diri apabila kesemua mereka ditahan polis, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden M. Kumarasan berkata, kesemua suspek lelaki berusia 17 tahun hingga 23 tahun itu ditahan dalam operasi bermula kira-kira pukul 8 malam.
Katanya, kesemua suspek ditahan atas kesalahan berlumba dan melakukan aksi-aksi bahaya di jalan awam yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Bertindak atas maklumat berkaitan lumba haram dan aktiviti samseng jalanan di SDE E22, polis menahan tujuh samseng jalanan yang sedang asyik berlumba di laluan tersebut.
“Alasan mereka ketika ditahan selepas berlumba dan melakukan aksi bahaya secara berkumpulan adalah untuk melepaskan gian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi tersebut melibatkan seramai 13 anggota dan pegawai kanan yang diketuai Asisten Superintenden Mohd. Zainudin Abu Bakar.
Kumarasan berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108 akta sama serta tindakan di bawah kesalahan Perkara 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Hasil ujian air kencing terhadap kesemua tangkapan mendapati seorang daripadanya positif methamphetamine dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua motosikal dinaiki suspek disita dan polis turut mengeluarkan lapan keping saman POL 257 bagi pelbagai kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, SDE adalah lokasi panas bagi aktiviti samseng jalanan berdasarkan aduan lepas yang diterima, namun hasil operasi yang berterusan oleh JSPT Johor dapat mengekang masalah sosial itu daripada terus berleluasa.
“Kerjasama daripada semua pihak terutama ibu bapa dalam aspek pemantauan dan penyeliaan anak anak amat penting. Pantau aktiviti anak-anak ketika tempoh PKP ini supaya tidak terjebak dengan masalah sosial seperti ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE