KEDUDUKAN politik kerajaan memerintah masa kini yang didakwa tidak stabil diambil kesempatan oleh beberapa pihak yang mengkritik serta mendesak supaya kehendak politik mereka dipenuhi.
Apa sahaja usaha dilakukan kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani Covid-19, isu ekonomi negara dan beberapa isu lain yang terkesan akibat pandemik, semuanya dituduh `tidak betul’.
Pihak yang membuat dakwaan itu dengan jelas mahukan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera dengan tanggapan hanya melalui pilihan raya segala masalah yang terkesan akibat pandemik akan dapat diselesaikan. Benarkah?
Antara tuduhan dilemparkan termasuk bajet menangani Covid-19 dan isu ekonomi negara walaupun melibatkan berbilion ringgit, dianggap tidak menyelesaikan masalah.
Desakan demi desakan yang dibuat secara jelas membuktikan ada pihak yang mahu merebut jawatan Perdana Menteri.
Namun, sejak berbulan-bulan yang lalu semua desakan itu gagal mencapai matlamat, ditambah pula apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat. Ekoran itu PRU tidak boleh diadakan.
Walaupun darurat diisytiharkan, masih terlihat lagi usaha untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli politik agar Seri Paduka menarik balik pengisytiharan tersebut.
Rakyat kini mula tertanya-tanya apabila melihat tindakan sesetengah ahli politik itu umpama satu langkah yang sangat `terdesak’ untuk mengejar sesuatu sebelum keadaan menjadi `terlambat’. Ada juga rakyat menggunakan istilah `desparado’.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor ketika diajukan persoalan mengenai desakan diadakan PRU pada waktu Covid-19 semakin serius, menegaskan sepatutnya dalam keadaan pandemik ini, tumpuan seharusnya kepada usaha menangani masalah yang dihadapi rakyat dan negara.
“Ahli-ahli politik sepatutnya bersama-sama dengan rakyat dan kepemimpinan negara untuk fokus kepada usaha menangani Covid-19, ekonomi serta isu lain yang terkesan akibat pandemik itu.
“Titah Yang di-Pertuanj Agong yang mengisytiharkan darurat jelas bagi menangani masalah yang melanda masa kini terutama pandemik Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan agar tumpuan utama negara pada masa ini adalah tepat iaitu menyelesaikan segala masalah berbangkit dan bukannya mengadakan PRU.
Pandangan sama turut dinyatakan bekas Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad kerana baginya dalam Islam apabila negara berhadapan isu besar seperti Covid-19 serta masalah yang terkesan dari pandemik itu, adalah satu tindakan yang betul bagi menangani serta menyelesaikan masalah tersebut terlebih dahulu.
Jelasanya, pandemik Covid-19 sekarang menjadi masalah besar serta utama dan dengan itu menjadi kewajipan kepada kepemimpinan Muhyiddin menanganinya segera.
“Pandemik yang melanda negara masa kini melibatkan kesengsaraan rakyat sebab itu kerajaan dilihat sangat fokus menanganinya. Ia wajib ditanggani oleh kerajaan.
“Bukannya sibuk merebut jawatan penting atau berpolitik atau mengadakan PRU,” kata Ismail Mina.
Pandemik ini katanya, melibatkan masalah dunia dan kepemimpinan negara dilihat bersungguh-sungguh menanganinya.
Bagi seorang ahli pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Datuk Aidit Ghazali, semua orang kini mahu berbicara mengenai Covid-19, PRU, pengisytiharan darurat, ekonomi dan banyak lagi.
Beliau berpandangan, sebelum berbicara isu-isu berkenaan, setiap orang seharusnya tahu membuat pertimbangan antara mudarat dan manfaat jika PRU hendak diadakan.
“Kalau hendak bincang isu-isu ini terutama keperluan diadakan PRU pada waktu pandemik Covid-19 ini, kita harus tahu menyeimbangkan antara mudarat dan manfaat jika PRU diteruskan.
“Juga perlu dilihat apakah perkara yang harus diutamakan dan perlu diberi fokus dalam menangani masalah dihadapi. Rakyat perlu tahu menilainya,” katanya.
Bagi beliau, kerajaan di samping itu perlu menguar-uarkan bahawa masalah yang dihadapi negara dalam isu Covid-19 tidak separah seperti dialami negara-negara barat mahupun jiran.
“Apa yang dikhuatirkan, jika kita terus memainkan isu jumlah mereka yang positif Covid-19 boleh menyebabkan pelabur asing enggan datang ke negara ini dan ia menjejaskan ekonomi negara.
“Kita harus tunjukkan bahawa kerajaan telah dan berterusan menangani pandemik ini dengan baik dan sebagai bukti jumlah mereka yang pulih sepenuhnya kian bertambah,” katanya.
Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Dr. Abdullah Sudin Ar Rahman berpandangan, jika PRU diadakan ketika pandemik Covid-19 meningkat dan belum selesai, dikhuatiri bencana lebih besar akan menimpa.
“Haluan percaya PRU bukan masanya. Kita harus tumpu menangani masalah Covid-19.
“Jika masih hendak diadakan PRU, ia hanya akan menambah mudarat kepada masalah rakyat,’’ katanya.
Pandangan empat pemimpin NGO ini yang mempunyai ribuan keahlian, perlu diambil kira dan direnungkan bersama.
Semua luahan itu adalah atas dasar demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebelum kemudaratan yang lebih besar melanda negara.