Pesara rugi lebih RM1 juta ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Pesara rugi lebih RM1 juta ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pesara berputih mata selepas wang simpanan berjumlah kira-kitra RM1 juta miliknya lesap akibat diperdaya sindiket Macau Scam, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, wanita berusia 74 tahun itu pada mulanya menerima panggilan kononnya dari ‘Ibu Pejabat Pos Laju Malaysia’ pada September lalu memaklumkan terdapat bungkusan atas namanya mengandungi kad pengenalan, buku cek dan tiga keping kad bank untuk dihantar ke Sabah.

Katanya, mangsa kemudian disambungkan kepada ‘Sarjan Fairul’ dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah yang memaklumkan mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dalam siasatan polis.

“Mangsa diugut ditangkap dan direman sekiranya tidak memberikan kerjasama oleh lelaki bernama Si Wan. Bimbang dengan ugutan itu, mangsa mengikut segala arahan dengan memberikan semua maklumat akaun bank.

“Pada 1 Oktober lepas, pesara itu memindahkan wang sebanyak RM833,000 daripada akaun Tabung Haji miliknya kepada suspek sebelum diminta pula memberikan kad bank untuk tujuan audit empat hari kemudian.

“Keesokan harinya, mangsa ke sebuah pusat beli-belah di daerah ini dan meletakkan kad bank Maybank miliknya di atas peti surat seperti yang disuruh oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, mangsa membuat beberapa lagi transaksi besar dari akaun bank CIMB ke akaun bank Maybank miliknya yang mana kad bank tersebut telahpun berada dalam pegangan suspek.

“Kira-kira empat transaksi pemindahan wang dilakukan mangsa sehingga jumlahnya mencecah lebih RM1 juta,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dengan penipuan dan ugutan sindiket.

“Sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan, hubungi ahli keluarga atau polis dengan kadar segera kerana modus operandi sindiket ini masih menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan terhadap jenayah siber,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya