Pesalah ingkar SOP turun lagi kepada 589 individu

Pesalah ingkar SOP turun lagi kepada 589 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan mereka yang ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turun lagi untuk tempoh dua hari berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cuma 589 individu ditahan semalam berbanding 745 individu kelmarin dan 950 orang pada sehari sebelum itu.

Kesemua diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 71,836 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 5,234 pasukan di seluruh negara.

“Daripada jumlah ditahan itu, seramai 543 individu dikenakan kompaun manakala 42 direman dan baki empat pesalah lagi hanya dijamin,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Kes tertinggi tidak patuh jarak fizikal sebanyak 184, diikuti tiada pelitup muka (130), rentas kawasan tanpa izin (64), gagal sedia alat rekod butiran (56), operasi premis lebih masa (36).

Juga kesalahan keluar rumah tanpa alasan munasabah (25), aktiviti pusat hiburan (13), membawa penumpang berlebihan (11), ingkar perintah kuarantin (7) dan lain-lain (63).

Beliau juga menambah, 16,195 anggota semalam telah memantau sejumlah 6,209 restoran,  4,196 pasar raya, 4,063 bank, 2,823 penjaja, 1,741 kilang dan 979 buah pejabat kerajaan

Seramai 55 pendatang asing tanpa izin ditahan melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan kes Covid-19.

“Tujuh kenderaan darat dan tiga bot dirampas, manakala 535 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 135 buah bot atau kapal asing dicurigai berdekatan perairan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri memaklumkan sejumlah 107 operasi sanitasi awam dibuat meliputi sebanyak 46 zon merah, tiga zon jingga, tujuh zon kuning dan tiga zon hijau di seluruh negara semalam.

Usaha tersebut ujar beliau, melibatkan penugasan 373 anggota bomba selain 188 anggota pihak berkuasa tempatan dan 39 dari agensi lain dengan penggunaan 91 buah jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 438 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 buah stesen kuarantin.

“Sejumlah 119,156 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 73 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Seramai 526 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 112,429 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 574 peruncit, 160 pemborong dan 29 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,759 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya empat yang diberi nasihat, manakala 16 premis lagi dikenakan kompaun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN