Pesalah ingkar SOP turun lagi kepada 575 individu

Pesalah ingkar SOP turun lagi kepada 575 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam turun lagi untuk tempoh tiga hari berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya 575 individu yang ditahan berbanding 589 individu kelmarin dan 745 individu pada sehari sebelum itu.

Kesemua diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 72,474 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,366 pasukan di seluruh negara.

“Daripada jumlah ditahan itu, seramai 532 individu dikenakan kompaun manakala 39 direman dan baki empat pesalah lagi dijamin,” kata beliau pada sidang akhbar di ibu negara hari ini.

Kes tertinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran (103), tidak patuh jarak fizikal (96), tiada pelitup muka (96), rentas kawasan tanpa izin (70) dan keluar rumah tanpa alasan kukuh (25).

Juga kesalahan sengaja makan di premis melebihi had dibenarkan (17), operasi premis lebih masa atau tanpa kebenaran (16), aktiviti pusat hiburan (10) dan lain-lain (117).

Beliau juga menambah, 15,761 anggota semalam telah memantau sejumlah 6,078 restoran,  4,259 pasar raya, 3,858 bank, 2,088 pasar awam, 1,642 kilang dan 859 buah pejabat kerajaan

Seramai 37 pendatang asing tanpa izin ditahan melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan kes Covid-19.

“Enam kenderaan darat turut dirampas, manakala 522 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 126 buah bot atau kapal asing dicurigai berdekatan perairan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri memaklumkan sejumlah 101 operasi sanitasi awam dibuat meliputi sebanyak 45 zon merah, dua zon jingga, lapan zon kuning dan satu zon hijau seluruh negara semalam.

Usaha tersebut ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 547 anggota bomba selain 178 anggota dari pihak berkuasa tempatan dengan penggunaan sejumlah 102 jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 604 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin.

“Sejumlah 119,653 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 73 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Seramai 538 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 113,190 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 544 peruncit, 154 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,685 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan dua premis diberi nasihat, tiga pula dikenakan amaran dan enam lagi dikompaun.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut membuat pemeriksaan di 88 tapak binaan seluruh negara semalam dengan semua didapati mematuhi SOP dan empat tidak beroperasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN