PUTRAJAYA: Pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam terus catat penurunan untuk hari keempat berturut-turut.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 443 individu diberkas berbanding 463 individu kelmarin dan daripada jumlah itu, 404 dikompaun dan 39 direman.
“Kesalahan paling tinggi ialah tidak patuh jarak fizikal sebanyak 136 individu, diikuti gagal disediakan peralatan rekod butiran diri (82),” kata beliau menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Selain itu ujarnya, rentas kawasan tanpa kebenaran (68), tidak memakai pelitup muka (64), premis beroperasi lebih masa atau tanpa izin (29) dan keluar rumah tanpa alasan kukuh (20).
Tidak ketinggalan ditahan ialah seramai 19 individu yang terlibat aktiviti perjudian, membawa penumpang secara berlebihan (15), ingkar arahan kuarantin (2) dan pelbagai kes lain (6).
Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 73,266 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,603 pasukan di seluruh negara.
Ismail Sabri menambah, 16,571 anggota semalam telah memantau sejumlah 6,409 restoran, 4,643 pasar raya, 4,229 bank, 3,547 rumah ibadah, 2,379 penjaja dan 2,149 pasar awam.
Turut dipantau 1,784 kilang, 1,741 tempat riadah, 863 pejabat kerajaan selain 1,268 terminal pengangkutan darat, 276 terminal pengangkutan air dan 110 terminal pengangkutan udara.
Seramai 39 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) juga berjaya ditahan melalui Operasi Benteng bagi misi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.
“Dua kenderaan darat dirampas selain 118 buah bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara menerusi empat aktiviti penglihatan,” kata Ismail Sabri.
Op Benteng itu katanya, turut mengadakan 543 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 114 operasi sanitasi awam juga dilakukan semalam yang meliputi 32 zon merah, sembilan zon jingga, 13 zon kuning dan satu zon hijau.
Ia ujarnya, melibatkan penugasan seramai 627 anggota bomba selain 190 anggota pihak berkuasa tempatan dan 12 dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 117 jentera bomba.
Menyentuh kuarantin wajib, seramai 1,416 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 125,839 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 74 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.
Seramai 635 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 118,993 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 557 peruncit, 155 pemborong dan 32 pengilang.
Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,657 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan lima premis diberikan nasihat, satu dikenakan amaran dan tiga dikompaun.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut membuat pemeriksaan di 56 tapak binaan seluruh negara semalam dengan semua premis beroperasi didapati mematuhi SOP. – UTUSAN