KOTA TINGGI: Sebanyak RM15 juta peruntukan khas disalurkan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di Pengerang, di sini.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Mohamad berkata, usaha itu sebagai langkah jangka panjang yang diambil melalui penyediaan sistem pam air di kawasan terlibat.
“Satu jawatan kuasa bersama diwujudkan dan diketuai pegawai daerah agar masalah ini dapat dilihat secara bersama dan penyelesaiannya lebih tuntas.
“Kementerian akan pastikan kawasan Kampung Sungai Kapal dan berhampiran disediakan peruntukan khas agar kawasan ini disediakan pam-pam supaya air bertakung yang menjadi punca banjir ini dapat dialirkan ke laut dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kampung Sungai Kapal Lama, Pengerang dan Taman Bayu Damai berhubung isu banjir akibat bencana monsun timur laut di sini hari ini.
Yang hadir sama Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Ir. Syed Sis A. Rahman.
Dalam pada itu, Azalina mencadangkan agar kerajaan mengkaji sama ada boleh mewujudkan pembiayaan bersama syarikat-syarikat yang melakukan pembangunan di kawasan tersebut.
“Isu ganti rugi mangsa banjir ini kalau hendak suruh kerajaan sahaja tidak adil kerana isu alam sekitar. Air bertakung tidak boleh keluar berlaku sejak projek ini ada.
“Sepatutnya dengan adanya projek ini kesan alam sekitar menjadi lebih lancar. Ini sesuatu yang perlu kerjasama antara syarikat antarabangsa terbabit dan kerajaan,” katanya.
Azalina turut menyifatkan banjir yang berlaku tahun ini adalah paling teruk dengan melibatkan lebih 500 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) apabila paras air mencecah paras bumbung rumah penduduk. – UTUSAN ONLINE