KUALA TERENGGANU: Langkah Kementerian Pendidikan menamatkan sesi persekolahan bersemuka bagi semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 pada hari ini dikhuatiri merisikokan kumpulan pelajar sederhana dan lemah.
Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, keputusan mengejut itu tidak sepatutnya dilaksanakan dalam situasi calon-calon tiada didikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sempurna di samping berdepan tekanan peperiksaan.
“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana pelajar sederhana dan lemah membuat persediaan kendiri di rumah, walaupun ada kelas tambahan di sekolah kebarangkalian untuk mereka hadir adalah rendah kerana bukan perkara wajib.
“Alumni GPMS tidak bersetuju dengan tindakan kementerian kerana tempoh dua minggu menjelang peperiksaan itu sewajarnya dimanfaatkan dengan kelas supaya cikgu dapat berinteraksi bersama pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan penamatan sesi persekolahan bersemuka itu bagi memberi ruang kepada para pelajar membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari ini.
Bagaimanapun, pelajar yang tinggal di asrama sekolah perlu kekal berada di asrama, namun mereka yang ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan 9 Februari.
Syed Anuar turut menggesa Kementerian Pendidikan agar melaksanakan perancangan rapi dan terperinci sebelum mengumumkan sesuatu perkara bagi mengelakkan kejadian pelajar dijadikan mangsa tikus makmal.