Permohonan PM, kerajaan batal saman Khairuddin didengar 12 April

Permohonan PM, kerajaan batal saman Khairuddin didengar 12 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 April ini bagi mendengar permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman pemula bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung pengisytiharan darurat yang diumumkan bulan lalu.

Tarikh itu ditetapkan pada sesi pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya yang turut disertai oleh peguam Nur Mustanir Md. Nor yang mewakili Khairuddin manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili pihak kerajaan.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang juga mewakili Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya memfailkan permohonan untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkaitan isu darurat yang terkandung dalam saman pemula itu, ke Mahkamah Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, pihaknya mahukan agar keempat-empat persoalan undang-undang yang melibatkan kepentingan asas Perlembagaan, dijawab oleh mahkamah tertinggi negara.

Muhammad Rafique menyatakan, Khairuddin selaku plaintif turut mengarahkan pihaknya memohon kepada mahkamah agar empat persoalan undang-undang itu didengar oleh Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu agar pelupusan isu berkenaan dapat dilaksanakan secara lebih ekonomikal.

Selasa lalu, Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula Khairuddin atas alasan tindakan undang-undang itu remeh, mengaibkan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan, tiada bukti dalam permohonan Khairuddin, mahupun afidavit sokongan yang menyatakan bahawa Muhyiddin telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 18 Januari lalu, bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu selaku plaintif mencabar tindakan Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan darurat yang didakwanya tidak sah dan tidak  berperlembagaan.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Dalam saman pemula itu, Khairuddin memohon mahkamah memutuskan empat persoalan keperlembagaan, antaranya sama ada nasihat seorang Perdana Menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi satu pengisytiharan darurat, adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Selain itu Khairuddin memohon mahkamah memutuskan sama ada nasihat bagi pengisytiharan darurat itu telah dibuat ‘in fraudem legis’ (mencabul kedaulatan undang-undang)  yang mana ketika memberi nasihat itu beliau didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Plaintif turut memohon mahkamah memutuskan sama ada mesyuarat  Jemaah Menteri yang diketuai Perdana Menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan Proklamasi Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, adalah tidak sah dan tidak berpelembagaan.

Selain itu, Khairuddin memohon mahkamah memutuskan sama ada penggantungan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos ini oleh seorang Perdana Menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Plaintif turut mendakwa, dengan hanya memiliki sokongan 110 Ahli Dewan Rakyat berbanding jumlah minimum 111 sokongan yang diperlukan, maka Muhyiddin telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya