KUALA LUMPUR: Permohonan Ketua Polis Negara (KPN) untuk membatalkan saman seorang guru tadika yang mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki itu, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Jun ini.
Permohonan itu dikemukakan oleh KPN dan tiga pihak lain untuk membatalkan saman M. Indira Gandhi yang mendakwa polis gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suami mualaf, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuan mereka yang kini berusia 13 tahun.
Remaja itu dilarikan oleh bapanya ketika berusia setahun.
Tarikh pendengaran itu ditetapkan pada sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof yang berlangsung secara dalam talian hari ini.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira memaklumkan, mahkamah menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah agar KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis.
Menurut Rajesh, pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis bagi kedua-dua permohonan itu selewat-lewatnya pada 23 Mac ini manakala hujahan balas difailkan pada 6 April.
Pada 11 Januari lalu, Indira memfailkan permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah mahkamah, supaya KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis, melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Soalan itu adalah berkaitan siasatan dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan yang didakwa berada di Selatan Thailand.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia, selaku defendan.
Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya yang dilarikan oleh bekas suami. – UTUSAN ONLINE