SEREMBAN: Penyediaan hanya satu saluran televisyen DidikTV oleh Kementerian Pendidikan dilihat tidak mencukupi malah keberkesanannya meragukan bagi mencakupi keperluan bermula tahun satu hingga tingkatan enam atas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan,Pendidikan Dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, sewajarnya Kementerian Pendidikan menyediakan 13 saluran untuk setiap peringkat pembelajaran berbanding hanya satu saluran yang diperkenal sejak 17 Februari lalu.
“Sebagai contoh, tahun satu memerlukan satu saluran khas, tahun dua juga memerlukan salurannya yang tersendiri dan begitulah seterusnya sehingga tingkatan enam atas.
“Untuk permulaan, kemungkinan Kementerian Pendidikan menghadapi kesukaran menyediakan prasarana untuk menyediakan 13 saluran serentak namun ia boleh dimulakan dengan sekurang-kurangnya lima saluran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Rafie, lima saluran itu adalah untuk kumpulan tahun satu hingga tiga, tahun empat hingga enam, tingkatan satu hingga tiga dan tingkatan empat hingga lima manakala saluran akhir khusus untuk pelajar tingkatan enam bawah serta enam atas.
“Penyediaan awal lima saluran ini hanya untuk tempoh sementara kemungkinan dalam jangka masa maksimum tiga bulan sebelum kesemua 13 saluran TV Pendidikan dapat disediakan untuk kesemua 13 peringkat pembelajaran di sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini.
“Penyediaan 13 saluran TV Pendidikan ini memerlukan perbelanjaan besar namun ia adalah pelaburan yang kritikal untuk membantu 4,788,418 pelajar yang kini berada dalam sistem persekolahan di negara ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan menambah, bagi memastikan keberkesanan maksimum penggunaan saluran DidikTV dalam kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Kementerian Pendidikan perlu memastikan guru-guru yang terbabit dalam pengajaran benar-benar terlatih kerana ia membabitkan sistem pengajaran secara sehala.
“Pada masa yang sama Kementerian Pendidikan perlu berusaha memastikan setiap pelajar mempunyai peranti sama ada komputer riba atau tablet komputer dan kerajaan juga perlu memastikan pencapaian internet di seluruh negara dipertingkatkan.
“Kedua-dua kaedah iaitu penggunaan saluran TV Pendidikan dan peranti perlu dimanfaatkan dalam kaedah PdPR. Pelaburan dalam pendidikan adalah kritikal dalam usaha kita untuk memastikanpengembangan kemajuan negara tidak terjejas walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN ONLINE