PASIR MAS: Mereka bukan sahaja kehilangan rumah, malah sudah tidak ada tanah untuk membina kediaman baharu.
Hakikat itu pahit, namun terpaksa ditelan mangsa runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi, di sini selepas rumah mereka musnah terhumban ke bawah cerun, Rabu lalu.
Lebih malang, rumah yang musnah dan tanah yang ‘hilang’ itu adalah satu-satunya harta milik kebanyakan penduduk yang hanya bekerja kampung.
Suri rumah, Wan Khadijah Wan Ibrahim, 77, berkata, buat masa ini dia terpaksa menumpang di di rumah anaknya di Kampung Kubang Panjang, di sini buat sementara waktu.
Enggan menyusahkan anak-anak yang sudah mempunyai kehidupan masing-masing, dia bertekad mencari sebuah rumah sewa di sekitar kawasan itu dalam masa terdekat.
“Memang perit namun saya reda dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ia sebagai ujian dari Allah SWT yang perlu ditempuh dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Wan Khadijah menerima sumbangan wang tunai bagi meringankan beban ditanggung yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan itu, beliau berjuang habis-habisan memastikan nasib penduduk terlibat mendapat pembelaan sewajarnya.
“Sebagai langkah awal saya cadangkan penduduk terjejas untuk mewujudkan jawatan kuasa bertindak khas.
“Dengan adanya jawatan kuasa bersuara mewakili mereka, nasib penduduk yang terlibat akan lebih terbela selepas ini,” katanya.
Dalam kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan bermula awal pagi Rabu lalu, empat rumah musnah terus dengan kira-kira 50 penduduk diarah mengosongkan rumah kerana tidak selamat untuk didiami. – UTUSAN ONLINE