KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 11 Mac ini bagi memutuskan sama ada tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dibenar mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam tempoh darurat.
Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah), Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP) memfailkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan Perdana Menteri itu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh itu untuk keputusan selepas mendengar penghujahan semua pihak melalui aplikasi Zoom.
Pada sesi pendengaran hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili pihak Kerajaan selaku responden mengemukakan bantahan terhadap permohonan tersebut.
Pihak Kerajaan mengemukakan alasan pemohon-pemohon tidak mempunyai kes untuk dihujahkan pada peringkat ini yang membolehkan mahkamah memberi kebenaran kepada mereka untuk memulakan semakan kehakiman.
Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, S. Narkunavathy, Mazlifah Ayob dan Ahmad Hanir Hambaly mewakili pihak Kerajaan manakala pemohon-pemohon diwakili oleh peguam-peguam Datuk Gurdial Singh Nijar, Christopher Leong dan Abdullah Rahman.
Pada 26 Januari lalu, ketiga-tiganya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Mereka memfailkan permohonan untuk mencabar nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Mereka memfailkan permohonan itu bagi membolehkan Klausa 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat yang dikatakan tidak berperlembagaan disemak oleh mahkamah.
Permohonan ini juga bagi membolehkan kuasa-kuasa oleh Perdana Menteri dan Kabinet serta Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen atau DUN disemak.
Pada 12 Jan lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – UTUSAN ONLINE