GEORGETOWN: Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah tayar sebuah lori sampah dalam kemalangan di Lebih Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini pagi ini.
Mangsa, Lee Chee Seng, 61, dilaporkan mati di tempat kejadian selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangnya bertembung dengan kenderaan milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kira-kira pukul 8 pagi.
Operasi membawa keluar mayat mangsa yang tersepit dilakukan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak.
Pegawai Operasinya, Nor Azman Abdullah Dani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 8.01 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas dan mangsa dikeluarkan pukul 9.11 pagi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang di lokasi,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tersebut tamat pada pukul 9.15 pagi. – UTUSAN ONLINE