Penjenayah guna dron pantau penguat kuasa - Utusan Malaysia

Penjenayah guna dron pantau penguat kuasa

MUHAMMAD Hafizuddeain Jantan (tiga dari kiri) bersama Ayob Khan Mydin Pitchay (tiga dari kanan) bergambar bersama pegawai ATM dan agensi penguatkuasa lain sempena lawatan ke Markas Taktikal Tanjung Sepang, Bandar Penawar di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sindiket penyeludupan kini dikesan menggunakan teknologi terkini dan canggih seperti dron ketika menjalankan aktiviti penyeludupan migran serta barangan untuk dibawa masuk ke negara ini.

Mendedahkan perkara itu, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, penggunaan teknologi itu digunakan bagi mengesan pergerakan anggota keselamatan yang melakukan rondaan.

Kata beliau, sejak Januari lalu, sejumlah 20 dron bukan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikesan pihaknya.

“Sebelum ini, modus operandi sindiket melakukan aktiviti penyeludupan pada waktu tengah malam hingga awal pagi selain turut bergantung kepada pasang surut air laut.

“Namun, sindiket penyeludupan kini juga dikesan menggunakan teknologi seperti dron untuk memantau pergerakan pihak berkuasa, khususnya di kawasan perairan negara.

“Jadi, tahap ‘permainan’ sindiket penyeludupan kini lebih licik,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan Op Benteng di Markas Taktikal Tanjung Sepang, Bandar Penawar, di sini semalam.

Yang turut serta Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Bagaimanapun menurut Muhammad Hafizuddeain, setakat ini pihaknya belum mengambil sebarang tindakan seperti menembak jatuh pesawat dron yang dikesan dengan radar tentera.

“Kita tahu, memang dron itu bukan kita punya tetapi setakat ini kita belum ambil tindakan menembak dron berkenaan, cuma pihak risikan kita sedang meneliti situasi ini,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, sejak Op Benteng dilaksanakan bermula 16 Mei tahun lalu, pihak berkuasa menahan seramai 26 tekong dan 1,252 migran serta barangan rampasan bernilai RM3.7 juta.

“Statistik kejayaan itu adalah peningkatan sebanyak 200 peratus berbanding kejayaan direkodkan sebelum Op Benteng yang melibatkan kawasan pesisiran pantai sepanjang 220 kilometer negeri ini.

“Kejayaan ini hasil kerjasama pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia. Jadi boleh dikatakan kita lebih fokus dan efektif dalam menangani isu penyeludupan migran dan barangan berbanding bekerja secara berasingan sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan hanya dua daripada keseluruhan 1,252 migran dikesan positif Covid-19 dan tindakan lanjut bersesuaian telah diambil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya