LANGKAWI: Lima individu termasuk seorang penjawat awam dan isterinya ditahan serta merampas dadah bernilai RM17,284.50 dalam dua serbuan di Kampung Baru Ulu Melaka, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, empat suspek yang merupakan penduduk tempatan berusia antara 21 tahun hingga 43 tahun ditahan pada serbuan pertama pada pukul 4.30 petang itu
Menurutnya, dua daripada empat suspek itu cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan ketika anggota polis melakukan serbuan di rumah tersebut, namun kesemua saspek berjaya ditahan.
“Pemeriksaan di atas lantai rumah tersebut mendapati tujuh paket plastik lutsinar berisi heroin seberat kira-kira 270.0 gram (g) dan 17 peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu dengan berat 32.6g.
“Suspek terlibat mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, dan suspek berusia 21 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah tetapi kesemua mereka positif methamphetamine bagi ujian air kencing,” katanya di sini petang ini.
Susulan daripada serbuan pertama, beliau berkata, pihak polis berjaya menahan seorang perempuan Melayu berumur 41 tahun, yang berada di dalam kereta yang di parkir berhampiran dengan rumah dalam serbuan pertama,”
Tambahnya, pemeriksaan di dalam bonet kereta suspek menemukan sampul surat berwarna kuning yang diletakkan di atas bakul kain yang diterbalikkan, dan didapati tiga paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin dengan berat 78.8g di dalam sampul tersebut.
Jelasnya, wanita tersebut adalah isteri kepada salah seorang suspek dalam serbuan pertama.
“Susulan penangkapan wanita tersebut, polis telah merampas satu paket plastik lutsinar berisi dadah heroin dengan berat 51g yang disimpan di dalam almari baju, dalam bilik tidur di sebuah rumah di Jalan Ayer Hangat, di sini pada jam 5.30 petang semalam.
Shariman berkata, kesemua saspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE