Peningkatan simpanan SSPN tiga tahun berturut-turut - Wan Saiful

Simpanan SSPN meningkat tiga tahun berturut-turut

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan pencapaian cemerlang tiga tahun berturut-turut melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan deposit terkumpul sebanyak RM7.88 bilion.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah deposit SSPN bagi tahun 2020 ialah RM1.99 bilion, sekali gus memecah rekod terdahulu dan mencatat rekod baharu. 

Katanya, jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.58 peratus berbanding RM1.37 bilion pada tahun 2019. 

“Jumlah deposit bagi tahun lalu, adalah RM1.99 bilion dengan peningkatan 45.58 peratus di mana prestasi pembukaan akaun baharu SSPN pula, sebanyak 436,101 akaun pada tahun 2020 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun. 

“Pencapaian ini adalah 109.03 peratus berbanding sasaran tahunan. Secara keseluruhan, sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 4.82 juta akaun SSPN dibuka sejak ia diperkenalkan pada tahun 2004,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, semasa saya mengambil alih sebagai Pengerusi pada 18 Jun 2018, salah satu penekanan ialah untuk mengurangkan bebanan kewangan anak muda. 

Katanya, beliau sedar ia tidak boleh terhasil serta merta tetapi memerlukan usaha jangka panjang untuk menanam budaya menabung dalam hati masyarakat. 

“Pada tahun 2017, jumlah terimaan deposit hanya RM726.84 juta. Syukur kerana dalam masa kurang sedikit tiga tahun saya di PTPTN, kita sudah berjaya meningkatkan jumlah deposit SSPN sebanyak hampir tiga kali ganda berbanding 2017 dan keuntungan juga meningkat setiap tahun. 

“Ini menunjukkan usaha kita untuk membudayakan penabungan sudah mula menunjukkan hasil,” katanya.

Tambahnya, PTPTN juga telah memperbanyakkan saluran untuk transaksi online termasuk Direct Debit, e-Pay, FPX, JomPay, kiosk media, MOLPay, myPay dan PayQuik. 

“Ini adalah untuk memudahkan masyarakat menyimpan dalam SSPN. Penerimaan masyarakat semakin baik dan ia dapat dilihat jelas apabila sebanyak 66.39 peratus  daripada jumlah deposit simpanan kini adalah melalui transaksi secara dalam talian berbanding melalui transaksi di kaunter,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya