Peniagaan pakaian sekolah dijangka kembali rancak - Utusan Malaysia

Peniagaan pakaian sekolah dijangka kembali rancak

AHMAD Shaufiq Mohamad sedang menyiapkan bungkusan pakaian seragam sekolah yang ditempah untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak. -UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Peniaga pakaian seragam sekolah di sini berharap perniagaan mereka yang terjejas teruk kesan daripada penularan pandemik Covid-19 kembali rancak selepas kerajaan mengumumkan sesi persekolahan 2021 dibuka tidak lama lagi.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam bagaimanapun mendapati, tidak berlaku kesesakan pelanggan di kedai-kedai menjual pakai seragam sekolah di bandar ini selepas pengumuman kerajaan itu, namun peniaga yakin keadaan berubah tidak lama lagi menjelang saat akhir sesi persekolahan dibuka.

Selain kedai pakai seragam sekolah, tinjauan mendapati kebanyakan kedai kelengkapan persekolahan yang lain seperti kedai kasut dan beg, peralatan sekolah dan kedai buku tidak berlaku kesesakan.

Seorang peniaga pakaian sekolah di sini, Ahmad Saufiq Mohamad, 39, berkata, perniagaannya semalam masih seperti biasa, iaitu kekurangan pelanggan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Namun, katanya, dia sememangnya tidak menjangkakan ibu bapa membuat pembelian segera sebaik sahaja kerajaan mengumumkan sekolah dibuka bermula awal bulan depan.

“Keadaan ini mungkin disebabkan ibu bapa berhati-hati berbelanja setelah sebelum ini ada antara mereka yang berbelanja untuk keperluan persekolahan anak mereka namun kecewa apabila sesi persekolahan ditangguh.

“Kali ini ibu bapa mungkin menunggu saat akhir iaitu apabila benar-benar tiada lagi penundaan sesi persekolahan, barulah mereka yakin untuk berbelanja.

“Saya menjangkakan ibu bapa mula membuat persiapan akhir bagi mencari barang persekolahan untuk anak-anak mereka tiga hari terakhir sebelum sekolah dibuka,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan yang sama turut dilakukan oleh pihak sekolah yang menjadi pelanggan tetapnya setiap tahun, iaitu membuat persiapan pada saat akhir.

“Beberapa buah Sekolah di Langkawi, Sabah dan Sarawak yang menjadi pelanggan tetap saya juga mengambil pendekatan yang sama iaitu meminta mempersiapkan tempahan baju seragam untuk sekolah-sekolah mereka bermula minggu ini,” katanya.

Sebelum ini, perniagaan Ahmad Saufiq mengalami kemerosotan kesan daripada wabak Covid-19, malah hasil jualannya yang boleh mencecah sehingga RM15,000 namun untuk tahun ini dengan tempoh jualan yang sama hanya sekitar RM4,300.

Sementara itu, golongan ibu bapa lega dengan pengumuman sekolah akan dibuka tidak lama lagi setelah ditangguhkan sebelum ini.

Norhashimah Samsuri, 36, berkata, dua anak lelakinya yang berusia lima dan tujuh tahun teruja apabila kerajaan mengumumkan sekolah rendah dibuka mulai 1 Mac ini.

“Kedua -dua anak saya tidak sabar ke sekolah bagi menemui rakan-rakan mereka. Semua kelengkapan persekolahan termasuk pakaian seragam telah saya siapkan sejak awal Januari lalu,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk pelajar sekolah rendah iaitu pra sekolah, tahun 1 dan Tahun 2.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, bagi pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 pula akan bermula 8 Mac ini.

Menurut beliau, bagaimanapun, bagi pelajar sekolah menengah ditetapkan selepas cuti pertengahan penggal iaitu pada 4 April bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 5 April bagi Kumpulan B. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya