PETALING JAYA: Pengusaha restoran dan kedai makan dijangka dapat meningkatkan jualan sehingga 50 peratus selepas kerajaan membenarkan orang awam ‘dine-in’ atau makan di premis bermula semalam.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, walaupun baru hari pertama (semalam), sambutan pelanggan amat menggalakkan dan jualan makanan lebih rancak berbanding biasa.
Katanya, senario itu sangat melegakan pengusaha premis makanan yang sebelum ini dihimpit masalah kewangan berikutan kekangan operasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mempertimbangkan kelonggaran ini. Sekurang-kurangnya dengan peningkatan jualan sehingga 50 peratus dapatlah kami membayar sewa kedai, bil-bil dan gaji pekerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Walaupun diberi kelonggaran, Jawahar Ali menegaskan, 4,200 ahlinya berjanji sentiasa memastikan SOP di restoran sentiasa dipatuhi bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan.
Di Alor Setar, Kedah, suasana di beberapa buah restoran dan kedai makan di negeri ini didapati meriah apabila orang ramai mula mengunjungi premis tersebut sejak awal pagi.
Pemilik restoran dan kedai makan juga didapati gembira dengan ramai pelanggan mengambil kesempatan makan dan minum di premis mereka.
Pemilik kedai roti canai janda di Derang, dekat sini, Norasiah Abdul Rahman, 47, berkata, dia gembira apabila ramai pelanggan tetapnya kini berpeluang makan dan minum di kedainya.
“Alhamdulillah, roti canai di kedai saya habis pada pukul 11 pagi berbanding sebelum ini pukul 1 tengah hari,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar, Mohd. Kholib Hamid berkata, pemilik kedai makan dan restoran kini boleh menarik nafas lega apabila mereka boleh berniaga seperti biasa bermula semalam.
“Saya percaya peniaga-peniaga sedia mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dengan pelanggan dua orang semeja dan penjarakan satu meter serta waktu perniagaan bermula dari pukul 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.
Sementara itu di Johor Bahru, meskipun hanya dihadkan dua orang bagi setiap meja, para peniaga kedai makan dan restoran di bandar raya ini bersyukur susulan kebenaran pelanggan makan di premis bermula semalam.
Peniaga Kafe D’Mawar, Pasir Gudang, Sulaiman Ibrahim, 59, berkata, langkah itu sangat dialu-alukan para peniaga kedai makan kerana orang boleh datang dan makan di kedai, jumlah pelanggan meningkat berbanding hanya boleh bungkus.
Seorang lagi peniaga, Eliza Saputri Syahbudin, 36, pula berkata, pihaknya berharap keputusan itu kekal malah semakin bertambah baik dari semasa ke semasa.
“Apabila arahan baharu ini dibuat, kami sangat gembira dan akan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dipatuhi,” katanya.
Di Pasir Puteh, Kelantan pula, urus niaga di Zon Nasi Dagang Tok Bali di sini, kembali rancak, sekali gus memberi kelegaan kepada peniaga apabila kerajaan memberi kelonggaran membenarkan pelanggan makan di kedai mulai hari ini.
Pemilik restoran Kak Ju Nasi Dagang, Juliah Husain, 54, berkata, kelonggaran itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menghidupkan semula perniagaannya yang lesu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Januari lalu.
Dalam masa sama katanya, dia memberi penekanan terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk pendaftaran masuk dan mencatat suhu badan pelanggan serta peraturan hanya dua pelanggan untuk satu meja. – UTUSAN