SHAH ALAM: Seorang peguam dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM2.35 juta pada 2014.
Hakim Yang Zaimey Yang Kassim memerintahkan hukuman terhadap tertuduh, Ong Keh Keong, 48, bermula hari ini selepas pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.
Namun, hukuman terhadap bapa kepada dua anak itu ditangguhkan susulan pihak pembelaan membuat penangguhan.
Mengikut pertuduhan, Keh Keong yang bergelar sebagai peguam sejak 20 tahun didapati bersalah atas dua pertuduhan mendepositkan dua keping cek HSBC Bank Malaysia Bhd. berjumlah RM2.35 juta milik Ong Partnership ke dalam akaun Standard Chartered Bank miliknya dan satu pertuduhan mendepositkan cek Standard Chartered Bank berjumlah RM1.5 juta daripada akaunnya ke dalam akaun Public Investment Bank Bhd.
Tertuduh yang mula didakwa pada 2015 turut berhadapan dengan empat pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM2.65 juta daripada akaun Standard Chartered Bank Bhd. miliknya ke dalam satu lagi akaun bank sama miliknya.
Selain itu, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan memiliki wang berjumlah RM51,795.05 di dalam akaun miliknya.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Standard Chartered Bank Berhad, Cawangan No. 18, 20 & 22, Jalan SS21/39, Damansara Utama, Petaling Jaya, antara 18 Julai 2012 hingga 24 April 2014.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Keh Keong didakwa mengikut SubSeksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Farid Ahmad Kamal yang mengendalikan kes memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana dia seorang peguam selain dapat memberi iktibar kepada pengamal profesion sama supaya melakukan tugas dengan lebih adil dan saksama.
Tertuduh diwakili Peguam S. Surendran memohon supaya hukuman ringan kerana perlu menyara isteri, dua anak yang masih bersekolah dan ibu bapa berusia 88 dan 89 tahun.
Surendran kemudian memohon penangguhan penjara berikutan anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama dan tidak berisiko untuk melarikan diri kerana pasport juga telah diserahkan kepada mahkamah.
Hakim membenarkan permohonan penangguhan tersebut, namun memerintahkan tertuduh membayar tambahan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. – UTUSAN