SEREMBAN: Seorang penghantar makanan Food Panda maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok di Bulatan Perbandaran berdekatan Balai Bomba Nilai, Nilai dekat sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, dalam kejadian pukul 9.10 malam itu, Muhamad Haiqal Faiz Shaffre, 19, mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Bandar Baru Nilai menuju ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sampai di tempat kejadian, penunggang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok bahagian tengah bulatan dan jatuh di atas jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan dan mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Fazley lagi, siasatan dijalankan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan maut semalam adalah kejadian kedua berturut-turut melibatkan penghantar makanan Food Panda selepas seorang penghantar makanan syarikat yang sama meninggal dunia setelah dilanggar sebuah kereta dipandu warga emas dalam kejadian di simpang tiga, Jalan AST 6, dekat sini, malam kelmarin. – UTUSAN ONLINE