KEMAMAN: Seorang pengarah syarikat minyak dan gas (O&G) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM603,760, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Rosdi Abd. Ghani, 53, dari Geliga Besar di sini membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang berjumlah RM200,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dari 16 Oktober 2014 hingga 30 Disember 2014 di syarikat yang terletak di kawasan Perindustrian Miel Teluk Kalong di sini.
Bagi pertuduhan kedua, Rosdi didakwa mengulangi perbuatan sama melibatkan wang berjumlah RM403,760 pada 21 Januari 2015 hingga 25 Jun 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Amirudin Mohamad.
Hakim membenarkan Rosdi diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 28 Mac depan untuk pengurusan kes.
Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap awal bulan di mahkamah serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan. – UTUSAN ONLINE