Pemuda UMNO Johor gesa haramkan buku Tommy Thomas

Pemuda UMNO Johor gesa haramkan buku Tommy Thomas

MOHD. Hairi Mad Shah (depan tiga kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat pihaknya terhadap Tommy berhubung bukunya di IPD Johor Bahru Selatan, Johor. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah menggesa kerajaan mengharamkan buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana memesongkan fakta sejarah negara.

Menurutnya, buku memoir bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ itu juga mengandungi dakwaan dan tuduhan yang tidak sepatutnya dikeluarkan seorang bekas Peguam Negara.

Katanya, kebanyakan isi kandungan buku tersebut bersifat prejudis dan tidak beretika.

“Antara tuduhan yang dilemparkan dalam buku ini adalah dakwaan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak dalang kepada tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, pelantikan jawatan tertinggi kehakiman negara diputuskan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut memperlekeh Jabatan Peguam Negara.

“Seterusnya, Tommy turut berulang kali mencemuh parti UMNO dalam penulisannya selain turut mendakwa kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim berpunca daripada perlanggaran dengan lori bomba yang sedang mengundur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung buku berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.

Mohd. Hairi memaklumkan, sebanyak empat laporan polis dibuat oleh Pemuda UMNO Johor, UMNO Bahagian Johor Bahru, pertubuhan bukan kerajaan Dewan Muda Johor dan Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan buku berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu, setakat tengah hari ini, sebanyak 16 laporan polis telah dibuat terhadap Tommy di seluruh Johor.

“Setakat tengah hari ini, sebanyak 16 laporan polis telah dibuat di negeri ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 203 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya