KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti lain tidak sewajarnya memberikan pandangan berkenaan UMNO yang didakwa mempunyai akaun rahsia bank tidak diaudit.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan sedemikian tidak memberikan manfaat kerana akaun rahsia terbabit di luar pengetahuan pemimpin dalam UMNO.
“Akaun sulit UMNO? Bersatu atau parti lain tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat tuduhan.
“Ia tidak membawa sebarang kebaikan. Lebih 20 tahun saya sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO. UMNO tidak pernah buat keputusan membuka akaun rahsia atau pun sulit. Wallahualam,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial Twitter hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media tempatan kelmarin bahawa pihak pendakwaan di mahkamah mendakwa UMNO memiliki akaun rahsia yang terdapat wang tunai berjumlah RM114.16 juta yang tidak diverifikasi dan diaudit sebagai tujuan menerima sumbangan politik.
Perkara itu disebutkan pihak pendakwaan semasa menyanggah dakwaan wang tunai berkenaan yang dituntut oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak dan UMNO dalam saman pelucutanhak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap syarikat Obyu Holdings adalah milik parti itu.
Dakwaan itu mendapat reaksi daripada anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menjalankan siasatan jika benar dakwaan itu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil turut bersetuju untuk pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang yang dirasakan perlu.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, menafikan dakwaan berkenaan kerana tidak tahu-menahu mengenai kewujudan akaun itu.
UMNO mungkin berdepan masalah dibatalkan pendaftarannya jika akaun tersebut didapati menyalahi pelbagai peruntukan di dalam Akta Pertubuhan 1966. – UTUSAN ONLINE