Pembiayaan PPLH 2.0 patuh syariah bagi pembangunan ladang hutan 

Pembiayaan PPLH 2.0 patuh syariah bagi pembangunan ladang hutan 

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyediakan pembiayaan patuh syariah sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0). 

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pembiayaan kali ini berbeza dengan program sebelum ini, segala urusan pelanggan dilaksanakan secara telus dan pelanggan dapat melihat segala proses aliran kewangan yang terlibat. 

Katanya, pelanggan juga dibekalkan maklumat dengan jelas jumlah keseluruhan pembiayaan tanpa sebarang caj tambahan dan tersembunyi serta dilindungi takaful.

“Pembiayaan patuh syariah ini adalah satu-satunya pinjaman mudah bagi pembangunan ladang hutan yang ditawarkan di dalam negara ini.

“Malah kadar dan tempoh keseluruhan pembiayaan serta tempoh penangguhan kelak memberikan keuntungan kepada para pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, pihaknya bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Forest Plantation Development Sdn. Bhd. (FPDSB) sentiasa komited dalam menambah baik program ini dari semasa ke semasa.

Katanya, usaha ini adalah membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan berterusan pada masa hadapan. 

“Pelaksanaan pembiayaan ini juga adalah susulan PPLH terdahulu yang dimulakan sejak tahun 2007 telah pun berakhir pada tahun lalu di mana sehingga 31 Disember 2020, seluas 126,457.99 hektar ladang hutan telah dibangunkan dan melibatkan 82 perjanjian daripada 70 buah syarikat dari seluruh Malaysia. 

“Syarikat-syarikat peminjam akan mula membuat pembayaran balik pinjaman berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai yang diharapkan mereka ini dapat membuat perancangan bayaran balik pinjaman berdasarkan perjanjian terutamanya peminjam yang akan membuat pembayaran mulai tahun 2022,” katanya.

Tambahnya, kelancaran pembayaran balik ini penting bagi memastikan kelangsungan program pembangunan ladang hutan bagi memenuhi jaminan kelestarian dan daya saing industri perkayuan Malaysia di pasaran tempatan serta antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN