KUANTAN: Aspek pembelajaran dan penerapan ilmu digital perlu bermula dari peringkat sekolah rendah, menengah dan vokasional ibarat kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Pengerusi Eksekutif Trizure International (M) Sdn. Bhd., Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, langkah itu perlu bagi membina minda masyarakat ke arah transformasi digital bermula alam persekolahan.
“Trizure International (M) Sdn. Bhd. sesungguhnya telah memiliki sistem ‘flow logic’ yang selaras dengan hala tuju transformasi digital.
“Proses digital ini perlu dirasai bermula daripada setiap peringkat pelaksanaan yang disasarkan kerajaan dan akhirnya dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang mana 500,000 peluang pekerjaan menjadi antara fokus utamanya.
Perdana Menteri berkata, MyDIGITAL menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan hingga 2030.
Pelan itu dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Kerajaan juga akan menggalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang serta di bawah naungan MyDIGITAL ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan dalam masa lima tahun akan datang.
Mengulas lanjut, Zuhari berkata, Trizure International (M) Sdn. Bhd. menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan pelan MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Jelasnya, ia selaras objektif dan pelan perniagaan syarikat itu yang membabitkan kerjasama dengan Time Brain Sdn. Bhd. berlandaskan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau berkata, kepesatan ekonomi pada era ekonomi digital menuntut perubahan dalam diri atau penghijrahan diri dari segi mental dan fizikal supaya rakyat tidak ketinggalan.
“Anjakan kehidupan ke arah normal baharu perlu disegerakan untuk memastikan kelangsungan negara dalam menempuh cabaran yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE