Pembantu tadbir buat 21 tuntutan palsu mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Pembantu tadbir buat 21 tuntutan palsu mengaku tidak bersalah

NORAZAH Abdul Aziz (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat tuntutan palsu di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu tadbir di Pejabat Kadi Daerah Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini atas 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu dengan jumlah keseluruhan RM16,800 pada awal 2015 hingga 2016.

Norazah Abdul Aziz, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Norazah dengan niat memperdaya prinsipalnya iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan membuat tuntutan palsu menerusi Borang Tuntutan Saguhati Mengajar Di Bawah Rancangan Kelas Takmir Masjid Dan Surau berjumlah RM800 setiap bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh selama 21 bulan pada Januari hingga Disember 2015 serta Januari hingga September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Bagi pertuduhan tersebut, wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Norbaya Aman.

Terdahulu, Nur Mahirah memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, Siti Norbaya memohon wang jaminan ditawarkan kepada anak guamnya dikurangkan kepada RM10,000 berikutan tertuduh mengalami masalah kewangan.

“Tertuduh perlu menyara anak yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej selain ibunya yang uzur dan perlu menjalani dialisis pada setiap minggu dengan belanja RM600 sebulan.

“Tertuduh sudah bekerja selama 21 tahun di Pejabat Kadi Daerah Kluang namun dia digantung kerja mulai hari ini dan gajinya hanya dibayar separuh,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah pada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM pada setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan bagi penyerahan dokumen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya