Pemaju tetap perlu bayar pampasan projek lewat sebelum Covid-19 - Utusan Malaysia

Pemaju tetap perlu bayar pampasan projek lewat sebelum Covid-19

ZURAIDA Kamaruddin (belakang, tiga dari kiri) bergambar bersama penerima kunci rumah sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Perdana Fasa 1 dan PPR Taman Perling di Hotel DoubleTree By Hilton, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hanya projek perumahan yang sepatutnya siap dalam tempoh antara Mac hingga Disember tahun lalu layak mendapat pengecualian Lanjutan Tempoh Masa (EOT) yang ditetapkan kerajaan dalam Akta Covid-19 (Akta 829) melibatkan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, mana-mana projek lewat yang sepatutnya siap sebelum Mac 2020, pemaju masih perlu membuat pembayaran pampasan atau Denda Lewat Penyerahan Rumah (LAD) kepada pembeli.

Katanya, pengecualian berkenaan hanya terpakai kepada projek yang dijadualkan siap dalam tempoh terbabit.

“Kita (kerajaan) buat pengecualian ini kerana Covid-19 bermula Mac sehingga Disember, hanya untuk tempoh itu sahaja. Luar daripada tempoh itu, mereka kena bayar pampasan.

“Bagaimanapun, untuk projek lewat tahun ini, kita boleh pertimbang sekiranya masih tidak siap tetapi harus memiliki alasan kukuh. Pertimbangan ini membabitkan tempoh sehingga Mac 2021,” katanya.

Beliau mengulas sama ada pengecualian pembayaran pampasan ditetapkan kepada pemaju dalam akta berkenaan turut terpakai ke atas projek perumahan yang sepatutnya siap sebelum Covid-19.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Perdana Fasa 1 dan PPR Taman Perling, di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.

Menurut Zuraida, akta baharu itu digubal dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pemaju dan pembeli.

Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) adalah sebahagian daripada Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Di bawah akta perumahan ini, pemaju perumahan mendapat perlindungan sementara bagi kerja yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

Perlindungan itu termasuk mengelak pemaju daripada disaman oleh pembeli atau bank kerana gagal menyiapkan projek dari tarikh dijadualkan siap. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya